Al-Fatihah Buat KH Zezen Zainal Abidin

KH Zezen Zainal Abidin, atau saya panggilnya Pak Jejen, telah kembali ke Rahmatullah pagi ini.

Guru dan teman saya dari Pasantren Azzainiyyah, Sukabumi, Jawa Barat.

Beliau yang pertama mendiskusikan saya Tafsir Al Jailani yang baru kebelakangan ini diterbitkan semula selepas sekian lama disembunyikan dari edaran awam.

Ulama sufi tapi kontemporer.

Beliau penggubah lagu rasmi Sukabumi.

Pernah berjaya mengumpulkan pemerintah termasuk polis dan tentera, ulama dan rakyat jelata dalam satu persidangan syariah di Sukabumi.

Syariah itu, meliputi semua rukun Islam yang lima, selain hukum bernegara dan bermasyarakat – bicara beliau.

Syariah harus bermula dari solat berjamaah yang dihidupkan dan praktik zakat yang dapat dirasai kesannya oleh masyarakat – itu yang diusahakan melalui pasentren beliau, selain aturan syariah dalam perspektif yang lebih luas.

Konsepnya mungkin sama tetapi pendekatan Pak Jejen ialah empowerment seramai mungkin anak mukim sekitar Sukabumi untuk kutipan dan agihan zakat bagi mewujudkan erti dari kesejahteraan yang dijanjikan Islam.

Saya menziarahi beliau di Sukabumi dan kerap pula beliau menjadi tamu di rumah kami.

Banyak hikmah kebijaksanaan yang saya tumpangi beliau.

Entah dari mana beliau mendapat berita tentang ancaman kepada kami, Pak Jejen menalipon saya dengan suara lembutnya lima enam hari yang lalu. Tak disangka itu suara terakhir beliau di telinga saya.

Usianya belum melanjut tua tetapi takdir Ilahi sudah memanggil dia pergi.

Ya Rabb, aku kehilangan seorang lagi temanku di jalanMu.

Al Fatihah

About Author

Connect with Me:

Theme Settings