Husam Musa

KERAJAAN DAN WUDHU’

12249677_925569464188915_5520308330181655812_n

KERAJAAN DAN WUDHU’

Politik bukan segala-galanya. Dan seluruh hidup ini bukan hanya untuk politik.

Tetapi – ketika anda sebagai Muslim telah mempunyai kuasa politik – ia boleh mengubah, mewarnai dan memberi bentuk kepada banyak perkara.

Banyak perkara pula dalam hidup ini lebih luas dan beraneka dari hanya politik. Tetapi politik dan minda orang politik boleh pula menjadi penggubahnya.

Bagaimana memudahkan orang Islam termasuk pegawai, penjawat awam, pekerja kilang, staf di pejabat dan orang ramai untuk berwudhu’ dan sentiasa dalam wudhu’.

Kenapa?

Banyak hadis Nabi s.a.w yang menyebut: “Hanya si mu’min yang sentiasa memelihara wudhu’nya”.

Sentiasa berwudhu’ adalah tanda aras keimanan. Juga, sentiasa dalam wudhu’ sangat dituntut dari kita.

Rasulullah s.a.w dalam hadis yang lain (Sunan Ibni Majah – hadis no 277/278/279) memberikan pelajaran paling berguna.

Hidup ini singkat. Kebajikan yang perlu diperbuat terlalu banyak.

Antara sekian banyak kebaikan yang nanti berguna untuk si mu’min ialah: Solat dan sentiasa berwudhu’.

Sentiasa berwudhu’ menjadikan anda sentiasa berpahala, pada hal anda sedang ‘berpencak’ dengan pelbagai aktiviti hidup.

Jika anda di pejabat kerajaan atau lainnya, bila wudhu’ yang anda bawa dari rumah tadi pagi telah terbatal kerana tuntutan fitrah apa saja, tidak mudah untuk anda berwudhu’ semula di kebanyakan tandas biasa. Kecuali anda bergegas ke surau dalam satu-satu kompleks pejabat.

Lalu? Saya dan anda ingin sekali memperbaharui wudhu’ – tetapi kemudahan yang tidak kondusif menyebabkan kita segera melupakannya.

Nanti zohor bila kita akan bersolat, barulah wudhu’ kita akan diperbaharui.

Hitungkan berapa jam dari kehidupan kita yang singkat dan tidak akan berulang semula sampai bila-bila ini, kita kehilangan ‘credit hour’ kita?

Pada hal, kalau paipnya senang dan kemudahannya simple, kita semua untuk beberapa jam itu akan berada dalam wudhu’ sambung menyambung.

Membudayalah kita sebagai melangsungi lebih banyak jam tanpa wudhu’ dalam kehidupan harian kita dari lebih jam berwudhu’.

Kita telah memayahkan diri kita sendiri.

Pada hal, kuasa politik dipegang oleh kita.

Kita bahkan tidak dapat membudayakan rekaan bangunan kita semua dengan kedudukan kita sebagai Muslim.

Tandas kita hanya untuk ‘membuang’ dan bukan membangunkan jati diri kita?

Orang politik boleh mencetuskan minda ‘si Muslim mesti mudah berwudhu’ dalam kerajaan saya’ – tetapi tentulah arkitek dan profesional lainnya menjayakannya.

Saya terpanggil mencatit nota tak seberapa ini selepas seharian semalam, menjadi tamu kepada sebuah syarikat pengendali air kumbahan terbesar di China.

Sungguh pun semalam adalah hari minggu bagi syarikat mereka, se orang pengurus syarikat ini bermurah hati membawa saya melawat ibu pejabat mereka dan diberikan taklimat kecanggihan teknologi dan konsep pembangunan mereka (ada kesempatan, saya akan kongsikan).

Tema mereka ialah : AIR DAN ECO UNTUK SURVIVAL UMMAT MANUSIA.

Berkedudukan top 150 dari syarikat paling besar di dunia – dalam tempoh hanya 23 tahun, mereka telah berjaya membangunkan teknologi dan perniagaan yang berwasasan hampir hanya nostalgia untuk dekad yang lalu. Atau, untuk orang yang malas mengimpikan sesuatu yang berbeza.

Diskusi kami lewat meja hidangan hampir petang, saya membawakan sedikit falsafah ‘air’ dari perspektif Islam, termasuk wudhu’.

Itu mendorong saya menurunkan catatan ringkas ini.

Husam Musa
22 November 2015
10 Safar 1437

SAYA BERSEDIA

I

Menemui Dewan Harian Pusat – Saya Bersedia

Saya menghargai kesedian Dewan Harian Pas Pusat memanggil saya untuk menjelaskan teguran saya terhadap perjalanan kerajaan Kelantan.

InsyaAllah saya bersedia berbuat demikian.

Mengikut kenyataan SUA Pas, notis telah dihantar kepada saya (melalui pos?), malangnya saya belum menerimanya.

Saya meninggalkan Malaysia pada Sabtu, 14hb November. Sehingga tarikh itu, saya tidak menerima apa-apa surat. Kini saya di China tetapi jika benar notis itu dikeluarkan, saya tetap boleh dihubungi melalui sms, whatsapp atau e mail.

Namun tidak satu cara pun saya dihubungi.

Dalam kenyataan pertama SUA petang semalam, dikatakan perjumpaan itu adalah pada 24hb November ini (lima hari notis). Sejam kemudian, berita laman web menunjukkan ia diubah kepada 26hb November.

Nampak jelas ia diputuskan amat tergesa-gesa. Mengapa? Apa yang hendak dikejar?

Jadual asal untuk saya pulang ialah 22hb (empat hari sebelum perjumpaan yang baru dijadualkan) tetapi mungkin atas nasihat doktor, rawatan saya dilanjutkan beberapa hari lagi.

Memandangkan notis itu amat singkat, saya sangat menghargai jika SUA Pas dan DH Pas Pusat dapat menangguhkan, sekurang kurangnya seminggu selepas saya berada dalam negara.

Ini untuk membolehkan masa dan keadaan yang lebih selesa bagi saya menyediakan apa-apa persiapan perlu.

Saya yakin, ia bukan masalah besar kepada Dewan Harian Pas Pusat untuk meletakkan satu tarikh baru yang lebih selesa.

II

Larangan Debat Saya-Dato’ Mustafa

Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga jam selepas persetujuan oleh Dato’ Mustafa, seakan menunjukkan ada sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar. Juga tiadanya penyelarasan keputusan di kalangan pimpinan tertinggi Pas dibuat.

Bukankah Dato’ Mustafa adalah juga anggota Dewan Harian?

Adakah keputusan Dato’ Mustafa tidak dirujuk lebih dahulu kepada pimpinan parti?

Atau persetujuan Dato’ Mustafa hanya satu sandiwara semata-mata?

Dengan itu, Dato’ Mustafa tidak akan dikata orang segan dan enggan berdepan menafikan dakwaan saya?

Atau Pas tidak ada keyakinan dan kepercayaan kepada kebolehan Dato’ Mustafa?

Cara ini memburukkan imej parti dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang besar dan berwibawa.

III

Debat 21hb: Fir’aun Pun Berunding Dengan Musa

Sehebat dan segagah Fir’aun sekalipun, bila hendak ditentukan masa, tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional sihir Di Raja, Fir’aun merundingi Musa.

Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.

Pada hal Fir’aun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku.

Nabi Musa – mengikut Al Qur’an – yang mencadangkan:

– Masa : Dhuha/di waktu pagi sinarnya belum tersangat terik (Surah Ta Ha : ayat 59)
– Tempat : Juga dicadangkan oleh Musa, iaitu di ibu kota (namun saya tidak sempat merujuk ayat berkenaan)
– Tarikh : Yaumu Ziinah/hari perayaan nasional ( Ayat yang sama)

Bahkan format pertarungan itu pun berlaku perbincangan. Ayat 65 dan 66 Surah Ta Ha menyebut jurucakap Ahli Sihir Fir’aun bertanyakan Musa siapa patut memulakan lemparan. Musa mencadangkan ia dimulakan oleh pihak Ahli Sihir.

Itu aturan dari dunia peradaban silam. Ia kekal hingga kini sebagai amalan bersopan yang diikuti di mana-mana.

Al Qur’an membawa kisah ini untuk membentuk peradaban ummat ini juga.

Namun, rupanya ada juga insan yang ingin mempamirkan keberaniannya yang luar biasa dengan menetapkan sendiri tarikh, tempat, masa dan segalanya berkait apa yang dikatakan debat saya dan beliau.

Hingga kini saya tidak pernah dihubungi walau pun sepatah dalam apa jua bentuk.

Saya tentunya tidak lebih baik dari Nabi Musa a.s dan dia tentunya tidak lebih buruk dari Fir’aun.

Mengapa untuk isu ‘debat’ yang tidak sehebat mana pun, perlukan eksploitasi serendah itu?

Dunia sudah menjadi begitu sempit untuk satu pengaturan yang bersopan?

Secara bersendiri, hero kita ini menetapkan tarikh besok untuk saya bertemunya di KUISZM.

Saya tidak ada masalah menemui beliau di mana jua.

Tetapi biarlah resam diikuti ramai digunakan.

Janganlah kerana beliau begitu hebat, insan kerdil yang lain kena mengikut semua telunjuknya, hatta tarikh debat pun hanya beliau yang mesti tentukan seorang diri.

Jika watak seperti ini menjadi sebahagian kerajaan negara ini atas apa jua platform, apa akan berlaku?

Jika orang yang lebih hebat dari beliau iaitu Dato’ Mustapa pun InsyaAllah saya sanggup berdepan, tidaklah satu keberatan untuk saya menemui beliau.

Biarlah ia diatur secara persetujuan bersama. Bila-bila pun saya bersedia, jika tidak bertindih dengan temu janji yang telah diatur lebih awal.

Husam Musa
20 November 2015
8 Safar 1437 H

Pautan : Bantuan Kebajikan YDH
Klik : https://goo.gl/IUWzG6

Al-Fatihah Buat KH Zezen Zainal Abidin

KH Zezen Zainal Abidin, atau saya panggilnya Pak Jejen, telah kembali ke Rahmatullah pagi ini.

Guru dan teman saya dari Pasantren Azzainiyyah, Sukabumi, Jawa Barat.

Beliau yang pertama mendiskusikan saya Tafsir Al Jailani yang baru kebelakangan ini diterbitkan semula selepas sekian lama disembunyikan dari edaran awam.

Ulama sufi tapi kontemporer.

Beliau penggubah lagu rasmi Sukabumi.

Pernah berjaya mengumpulkan pemerintah termasuk polis dan tentera, ulama dan rakyat jelata dalam satu persidangan syariah di Sukabumi.

Syariah itu, meliputi semua rukun Islam yang lima, selain hukum bernegara dan bermasyarakat – bicara beliau.

Syariah harus bermula dari solat berjamaah yang dihidupkan dan praktik zakat yang dapat dirasai kesannya oleh masyarakat – itu yang diusahakan melalui pasentren beliau, selain aturan syariah dalam perspektif yang lebih luas.

Konsepnya mungkin sama tetapi pendekatan Pak Jejen ialah empowerment seramai mungkin anak mukim sekitar Sukabumi untuk kutipan dan agihan zakat bagi mewujudkan erti dari kesejahteraan yang dijanjikan Islam.

Saya menziarahi beliau di Sukabumi dan kerap pula beliau menjadi tamu di rumah kami.

Banyak hikmah kebijaksanaan yang saya tumpangi beliau.

Entah dari mana beliau mendapat berita tentang ancaman kepada kami, Pak Jejen menalipon saya dengan suara lembutnya lima enam hari yang lalu. Tak disangka itu suara terakhir beliau di telinga saya.

Usianya belum melanjut tua tetapi takdir Ilahi sudah memanggil dia pergi.

Ya Rabb, aku kehilangan seorang lagi temanku di jalanMu.

Al Fatihah

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

I . ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB

Kenyataan Media

Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini:

1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK
2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah
3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015

Kerajaan juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir tahun lalu yang masih belum siap.
Menjelang bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa musim tengkujuh.

Pada masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat dengan jayanya.

Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan.

Oleh itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Di Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya’kub sebagai Menteri Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Sekian. Terima kasih.

Pegawai Media
Menteri Besar Kelantan
4 November 2015
—————
Di atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB.

II. SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH?

Saya melihat – Pas yang berubah.

Kalau berkait dengan parti – saya tetap berpendirian – dalam politik Malaysia Pas perlu berusaha menjadi ‘kepala’ dan bukan ‘ekor’ membawa Islam sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara.

Di Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU – Pas Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini)

Hari ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi ‘Penasihat’ ekoran kenyataan beliau : ‘Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan…’ (Sinar Harian, 1 November 2015). ‘Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi’ ( Sinar Harian, tarikh sama)

‘Kita mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan’, katanya. (sumber sama)

‘Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO’ – Sinar Harian, 6 Jun 2015.

Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini.

Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya.

Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?

Semua kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi.

Saya dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah?

Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?

UG adalah contoh lain.

Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri.

Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS?

Jika tidak, kenapa?

Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka.

Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG.

Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu?

Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar?

Saya berubah atau Pas berubah?

Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan?

Parti mana yang telah menyambutnya?

Jika tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah itu menjatuhkan reputasi Pas?

Jika rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan oleh Pas Pusat.

Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat.

Termasuk apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April 2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan parti-parti termasuk UMNO.

Keputusan itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa eksekutif parti.

Saya berubah atau Pas berubah?

Kalau konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan secara sah?

Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan.

Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada?

Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO?

Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?

Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan.

Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula.

Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru.

Saya mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan selepas sesuatu pendirian parti diumumkan.

Saya akui, itu adalah agak saya sahaja.

Nampaknya cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media, rundingan dengan PM baru hendak dimulakan.

Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran.

Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan?

Adakah awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak dilonggokkan kepada saya?

Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan.

Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan.

Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya.

Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan?

Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?

III. MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER

Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya ‘Apa Husam mahu?’

Bagi mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini.

Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan.

IV. PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR

Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor.

Sebagai seorang muslim yang wara’ dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.

Fakta bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

Antara ‘ya’ dan ‘tidak’ sahaja yang diperlukan. Adakah ‘ya’ atau ‘tidak’ Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?

Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan:

– Apa yang saya sebutkan adalah benar.

– Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.

– Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk ‘Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS’ – saya harap dapat ditarik balik serta merta.

Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa.

Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat.

Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung.

HUSAM MUSA
25 Muharram 1437
7 November 2015

Idris Penyokong Gaji Wakil Rakyat Mesti Besar?

Idris Penyokong Gaji Wakil Rakyat Mesti Besar?

Sinar Online menyiarkan ingatan YB Idris Ahmad kepada saya berkait kenaikan gaji MB/TMB dan Adun Kelantan.

Tak sangka beliau juga seorang yang melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat.

Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh Pas nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.

‘Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat’ – itu logik YB Bukit Gantang.

Ya kah begitu?

Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.

Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?

Berbalik isu di Kelantan, adakah ‘timing’ dan ‘keadaan’ sekarang sesuai?

Adakah semua rumah rakyat dihanyut bah sudah terbina?

YB Idris meminta saya menyemak data mengenainya.

Siapa yang perlu menyemak? Saya atau Idris?

Sebagai Ahli Parlimen, dia patut tahu laporan menunjukkan masih banyak yang belum siap.

Tunggakan guru YIK belum berbayar sejak 16 bulan.

Bayaran pencarum Kifalah juga tertunggak.

Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen. Dikhabarkan, mereka akan dibayar setakat sepuluh bulan sahaja bagi tahun ini.

Masih ada masa gaji Adun disemak. Bukan tak boleh semak.

Bulan Mac depan, Dun Kelantan akan bersidang lagi.

Saya percaya, masa itu sebahagian besar isu yang saya bangkitkan di atas telah diselesaikan.

Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.

Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban.

Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak.

Kewajipan langsung kerajaan kepada rakyat, seingat saya Pas mengajarnya, lebih utama untuk diutamakan.

Sudah selesai kewajipan langsung yang lebih utama, jika kemampuan kewangan mengizinkan, tidak ada salahnya keperluan terkini wakil rakyat disemak.

Mempertimbangkan ‘timing’ dan ‘keadaan semasa’ akan membolehkan wakil rakyat dipilih semula dan menikmati elaun yang telah dibesarkan itu. Jika tidak, mereka hanya akan menerima pencen saja….

Husam Musa
23 Muharam 1437
5 November 2015

Teks Ucapan Gabungan Impian Kelantan

Gabungan Impian Kelantan
31 Januari 2015

Sabda Nabi s.a.w bermaksud:

“Jikalah bukan kerana impian masa depan si ibu, tidaklah ia menyusukan anaknya’.

Impian adalah benih sebuah gagasan. Permulaan sebuah kejayaan. Gambaran sebuah harapan.

Impian mempunyai kekuatan.
“I have a dream….”, oleh Martin Luther King JR, tentang persamaan hak antara kulit hitam dan putih bagi negara Amerika di waktu penindasan ke atas kulit hitam masih berleluasa, impian itu, kini menjadi realiti.

Mimpi-mimpi dalan kisah Nabi Yusuf, akhirnya menjadi realiti.

Impian boleh dalam bentuk idea-idea kasar, idealisma, atau harapan apa seharusnya terjadi.

Bahtera Nuh bermula sebagai design, bentuk dan kegunaan dalam fikirannya, hasil ilham dan wahyu Ilahi;

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا

“Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami…”

Lalu Nuh a.s mengumpulkan peralatan, bahan binaan, baginda sendiri sebagai tenaga kerja, pada akhirnya, sebuah bahtera tercipta buat pertama kalinya dalam sejarah peradaban manusia.

Impian untuk terbang, melahirkan kapal terbang.

Begitulah seterusnya, asal saja ada kesungguhan menjelmakan impian itu.

Impian Kelantan selepas bah mega, atau Kelantan Impian – dengan itu, bukan lah satu konsep yang asing.

Hadhirin-hadhirat,

Saya sungguh merasa bertuah, dapat berdiri di sini pada malam ini, dalam misi yang sama dan mulia – bersimpati terhadap rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega – lalu berusaha mencari jalan membantu mereka.

Dalam misi ini – Pelanggan utama kita adalah rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega/Our anchor client is Kelantanese affected by recent mega flood

Konsep kita: Sungguh pun Bah membawa kemusnahan, ia adalah satu peluang meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan menyeluruh mereka yang terlibat.

Sesuai falsafah yg ditunjukkan oleh satu doa Nabi s.a.w : “Gantikan kami (dari musibah/kemusnahan ini) sesuatu yang lebih baik dari apa (sebelumnya)”

Bermakna, kemusnahan oleh satu bencana, bukanlah akhir sebuah kehidupan. Bah kan, ia permulaan sebuah pembaharuan. Kerana itu kalimah ‘wakhlifna’/ gantikan – khairan minha/baiknya lebih dari yang sebelumnya.

Kesegeraan adalah motto kita. Kelambatan menjadikan penderitaan baru menimpa penderitaan sedia ada.
Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita bermalam di bawah khemah?
Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita berhujan panas tanpa rumah?

Kesegaran Idea dan kecepatan tindakan adalah kelebihan gerakan NGOs, tanpa General Order yg membelit dan Standart Operating Procedure(SOP) yang kaku.

Kepuasan berkhidmat dan keringanan penderitaan adalah tanda aras minima.

Pendekatan kita sebagai Ngos, tentulah :
-friendly dengan semua,
-pada masa yang sama, membawa suara akar umbi,
-profesional dalam pendekatan,
-terbuka dalam memburu solusi terbaik,
-kritikal pada tempatnya dan fokus kepada peningkatan kesejahteraan golongan terkesan dengan semangat ketergesaan dan kecepatan – sesuai dengan kedharuratan besar yang berlaku.

Hadhirin-hadhirat,

Secepat bah datang, secepat itu pula reaksi ratusan NGOs, qariah masjid, orang perseorangan, pertubuhan luar negara dan institusi, tampil menghujani bumi di landa bah dengan pelbagai jenis bantuan.

Bah Mega telah membawa membawa banyak kawan dan persahabatan. Bila hujan telah berhenti dan bah telah surut, dibanjiri pula oleh gerakan ngos dan hujan kasih dan perhatian banyak pihak.

Saya dan kita semua amat kagum dengan komitmen itu.

Sejumlah NGOs telah bersatu di bawah pimpinan Prof Dr Din berpusat di HUSM. Mereka mengadakan mesyuarat penyelarasan pada setiap malam. Siangnya, anggota merayap mengharungi saki baki Bah menyampaikan bantuan.

Setiap hari puluhan kontena bantuan dari seluruh negara tiba. Gerakan mereka begitu sistematik dan cekap.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah pada mereka semua dan jutaan terima kasih kepada pentadbir HUSM sendiri yang telah bertindak profesional menyediakan logistik yang bersesuaian.

Di medan, ramai lagi hero-hero tak bernama yang telah menyumbang. Termasuk mengharungi gelombang bah menyelamatkan nyawa-nyawa dengan berbekal bot-bot kecil dalam kegelapan malam pada saat-saat cemas bermula 22 Disember sampai saat kemuncak pada tarikh berbeza di lokasi yang berbeza.

InsyaAllah, satu ketika, sebahagian mereka yang boleh dikenalpasti, boleh kita raikan bersama.

Alhamdulillah, setinggi syukur kita ucapkan, Allah menyelamatkan nyawa rakyat Kelantan dalam kederasan Bah yang sangat luar biasa itu.

Hadhirin-hadhirat,

Era hentakan pertama bah sudah berlalu.

Kini, era pemulihan pasca banjir yang mungkin agak panjang perjalanannya.

Apabila bah surut, nampaklah kesan tinggalannya. Ia berguna jika kita ingin menggambil pelajaran darinya.

Air boleh dibentuk jika kita mempunyai bekas. Kesan banjir akan menjadi positif jika kita mempunyai pelan perancangan yang baik.

Nuh a.s dikenali sebagai bapa kedua manusia. Bah besar mewujudkan limpahan ummat yang bertebar ke empat penjuru dunia memulakan peradaban baru.

Asal sahaja pihak berwajib, khususnya Kerajaan Pusat hendaklah memandang ini sebagai satu peluang memberikan mutu kehidupan yang lebih baik bagi rakyat kita.

Kehadhiran NGOs lebih banyak mengisi ruang antara kewajipan pihak berwajib dan keadaan dharurat di lapangan.

Kita bukan pesaing kerajaan dan bukan pula berniat untuk berlumba dengan mereka. Kita hadhir mengisi ruang yang kosong, mencetus sesuatu yang baharu untuk ikutan, memantau, menjadi teman mereka yang ditimpa musibah, menyahut naluri kemanusiaan tanpa batas politik, kaum dan daerah dan menjadi jendela impian mereka dalam sudut tertentu.
NGO yang bergabung di bawah Gabungan Impian Kelantan kekal bebas seperti hasrat gerakan masing-masing cuma sekali sekali kita bergabung berbincang mengatur gerak.
Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul

Jika pengayuh tidak ada, paling tidak kaki dan kaki tangan digerakkan utk melancarkan perahu bersama.

Bencana, ketika ia tiba, tidak dapat ditangguh walau seminit.

Kesegeraan adalah dituntut. NGOs menyahut cabaran kesegeraan itu kerana mereka lebih bebas.

Sekadar untuk inspirasi bersama, ketika gempa kuat melanda wilayah Sichuan pada 12 Mei 2008, dua jam kemudian PM Cina sudah berada di atas pesawat menuju kawasan gempa.

Penduduk yang terkesan, diberikan antara seratus lebih design dan lay out rumah sebagai pilihan.

Mungkin PM Cina terpengaruh satu kata pepatah: bantu saya ketika banjir, saya akan membantu anda ketika kemarau.

Musim kemarau orang politik ialah musim pilihanraya…..dan begitulah sebaliknya.
Bukanlah kita membantu sebab politik dan pilihanraya ia hanya pepatah untuk difikirkan bersama.
Kita membantu atas semangat persaudaraan dan kemanusiaan tanpa syarat.

Impian sederhana kita, melihat rumah dan penempatan semua yang terkesan, dibina dan disiapkan seberapa segera.

Impian lebih unggul kita, rumah-rumah mereka biarlah selesa sesuai dengan status sebagai insan makhluk termulia.

Juga, kampung yang dikenal pasti dalam lurah bah, dialihkan ke perkampungan baru yang moden, selesa, lengkap dan indah.

“Sesiapa yang mengasihi makhluk di bumi, nanti ia akan dikasihi penghuni langit.” Kata Nabi s.a.w.

Di atas panggilan-panggilan ini, kita bermimpikan – Gabungan Impian Kelantan ini kita lancarkan.

Husam Musa
Yayasan Darul Hijrah
Gabungan Impian Kelantan

Barah 1MDB menunggu Pecah

Barah 1MDB menunggu Pecah

1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.

Laporan polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.

Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;

a. Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)

b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International Ltd.

c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 million

d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran

e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan

f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran

g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman

Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan membincangkan isu ini.

Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?

Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?

Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?

Tentulah dengan niat yang tertentu.

Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan baru ini?

Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?

Tidakkah dua perkembangan ini – laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet terjadi serentak?

Terlepas dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.

Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam Negeri.

Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?

Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.

Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.

Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.

Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.

Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.

Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti.

Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.

Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.

Husam Musa

Naib Presiden Pas
13 Disember 2014

Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 15 November 2014.

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata,” tegas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,” katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-60.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulama dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam. – HARAKAHDAILY 15/11/2014