SALINAN SURAT KEPADA YB TG PRESIDEN PAS

11150189_820952427994285_8010976967395022850_n

………………………

Assalamualaikum w.b.t

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga, para sahabat dan para pengikut Baginda.

Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
Ibu Pejabat Pas,
Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur

YB TG Presiden,

Masih tergiang-giang di telinga saya, ayat yang selalu YB TG bacakan dalam ucapan-ucapan YB TG pada awal tahun 80 an:

فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

“…. maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja.” – Surah Ta Ha ayat, 82.

Ayat ini berasaskan kata-kata orang-orang yang beriman dengan ajakan Nabi Musa a.s, yang telah sesuka hati dihukum oleh Fir’aun, tanpa berpandukan hujjah dan mendengar keterangan orang yang dituduh dengan saksama dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman. Melainkan semata-mata kerana Fir’aun berkuasa penuh menjatuhkan apa sahaja hukuman mengikut kehendaknya.

YB TG,

Sudah ditakdirkan, saya dipecat keahlian dari Pas.

Saya tidak merungut tentangnya.

Apa yang saya ingin rungutkan adalah cara dan keadaan pemecatan itu.

Pertama, saya hanya menerima maklum mengenai pemecatan itu melalui siaran media. Kecuali pada hari Selasa, 24hb Mei 2016, saya menerima sepucuk surat dengan maksud berkenaan secara pos tanpa berdaftar yang ditinggalkan di luar rumah arwah ibu saya.

Sungguh pun Jawatankuasa Disiplin mendakwa surat itu telah dihantar kepada saya sebelum ini, saya tidak pernah menerimanya.

Ada sepucuk surat yang dihantar secara kourier yang diserahkan pada 7 Mei 2016, tetapi telah saya pulangkan semula pada hari yang sama kerana pada sampul luarnya tertera YB Dato Haji Hassan Haji Musa. Saya menganggap, tidak mungkin surat sepenting pemecatan saya mempunyai nama penerima yang salah.

Semakan saya dengan City Link mengesahkan surat itu telah pun dipulangkan kembali kepada pengirim tanpa sampulnya dibuka.

Kedua, saya tidak dipanggil membela diri. Surat saya bertarikh 3hb April 2016 untuk memohon pengecualian Pengerusi JKuasa Disiplin dari mengadili kes saya dan pelanjutan tempoh untuk saya menjawab surat tunjuk sebab atau juga disebut surat penyiasatan, tidak terjawab sampai akhir.

Saya tidak tahu, adakah tiada jawapan rasmi adalah dikira jawapan, seperti apa yang dapat difahami dari ulasan SUA Pas mengenainya.

Selain menunggu surat rasmi sebagai jawapan kepada permohonan saya bertarikh 3 April 2016, saya juga terpaksa melengahkan jawapan balas saya kepada surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac 2016 kerana menunggu pandangan undang-undang dari peguam mengenai dengan satu dari pertuduhan ke atas saya, ia itu kesaksian secara disapina dalam kes saman sivil yang masih berjalan.

Surat jawapan atau pandangan undang-undang dari peguam berkenaan hanya saya terima melalui e mail pada 27 April 2016, seperti salinan berkembar.

Memandangkan isu kesaksian saya di mahkamah yang diperlukan oleh proses undang-undang adalah besar, saya terpaksa menunggu pandangan dari mereka yang ahli mengenainya sebelum memberikan sebarang jawapan.

Saya kira, ini adalah kes pertama seseorang yang disapina memberikan keterangan di mahkamah dihukum oleh parti dan dianggap sebagai satu kesalahan.

Namun begitu, keputusan tanpa memberi peluang saya membela diri dan tanpa pengecualian hakim iaitu Pengerusi Jkuasa Disiplin yang prejudis dan berkepentingan bertentangan atau conflict of interest dengan saya, telah pun di ambil.

Sekali pun keputusan telah dibuat, saya menulis catitan ini untuk menjadi rujukan orang kemudian tentang duduk perkara pertuduhan yang dikenakan dan supaya satu hari, keadilan dapat ditegakkan.

YB TG Presiden,

Berkenaan dakwaan pertama,

• Presiden PAS hendak membawa PAS menyertai UMNO
• Presiden PAS mahukan jawatan Menteri dalam kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional
• Presiden PAS mahukan jawatan sebagai Penasihat yang berstatus Menteri

Penjelasan saya,

Saya tegaskan, semua pertuduhan di atas adalah kesimpulan yang salah atau direka-reka atau tidak memahami apa yang saya tuturkan dalam ceramah saya di Mulong pada 5 November 2015.

Memandangkan pertuduhan ini adalah hasil kesilapan memahami ucapan saya, saya dengan ini mengambil pendirian untuk tidak memberikan penjelasan lanjut atas tuduhan ini.

Saya hanya meminta supaya ucapan saya itu diteliti semula dan dengan ini saya memperturunkan transkrip verbatim ceramah saya di Mulong tersebut untuk tatapan semula:

“..Nak gi nasihat, kita setaro mana sihat gak. Masalah perumahan nak nasihat Najib. Rakyat loni kalo takdop rumah pun takpo kalo kerajaan hok jahat ni tukar. Dengan tu bila naik kerajaan jjurus, kita buleh buat rumah. Kalo ada formula rumah bakpo tak mari nasihat ko Kelate dulu, rumah banjir tak siap lagi. Buat di Kelate dulu, jadi contoh barulah kita buleh royak ko Najib tengok ni aku, puak-puak aku buleh buat. Kerajaan aku pun tak leh buat rumah pah nak gi nasihat Najib lagumana. Sapo dia nak ccayo? ….

… Kalu kata nak kerjasama royak molek biar jelas. Panggil muktamar, panggil kawasan-kawasan, royak ko kawasan kita ni kerjasama doh. Ajk kita campur dengan AJK dia, exco kita campur dengan exco dia.

Menteri dia.. nak jadi menteri tak leh mugo penuh doh.. 39 ore ko berapa doh? Penuh doh nak lantik .. nak lantik sapo eh..Baihaki janganlah ambo royak doh ko dia jangan Ki. Ok lah Ok.. nak lantik sapo dia jadi menteri..lantik lah sapo-sapo hok kita kira ore kita. Datuk Nazri royak doh. Hok ni adik kakok buleh doh lah ambo lepas doh. Nazri royak doh tok soh masuklah, tak sah ppakat pasal menteri penuh doh. Nak lantik ttindih.

Sebab tu timbul setengah idea buat penasihat iaitu bergaji penuh menteri tapi tak jadi menteri. Ni ore agak.

Pasal bila tak jelas, macam-macam ore buleh agak. Dalam proses parti ni kena ada keputusan.

Dalam kes PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, ambo pertahan Presiden ambo pasal Presiden tidak dakap, Presiden duduk cacang gitu jah, Brehim Ali gi khabat dia. Tapi gi jupo depe ramai-ramai tu lah peluang Brehim Ali gi dakap. Kalu tak jupo takleh nak khabat. Bila datuk Ibrahim ali gi khabat Presiden kita ore kejut habis.

MasyaAllah PAS ni parti Melayu ko parti Islam? Mulo parti Islam. Pesuruhjaya PAS Selangor buat kenyataan esokkan, PAS Selangor tidak menerima kerjasama dengan PERKASA. Maknanya gapo? Maknanya benda tu buat tidak dengan keputusan parti”. Tamat

Melalui transkrip ini, tidak terdapat kesimpulan seperti pertuduhan dalam dakwaan yang dikenakan ke atas saya tersebut.

Dengan itu, saya menafikan kesemua ke tiga-tiga pertuduhan tersebut dan menegaskan ia adalah kesimpulan yang salah dari ucapan saya, yang dibuat oleh pihak tertentu mungkin dengan satu niat politik yang tertentu.

Pertuduhan seterusnya:

• Presiden PAS pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Selangor

• Presiden PAS, menawarkan kepada 2 atau 3 ADUN PKR untuk menyertai PAS, dan kemudiannya PAS akan bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan bersama dengan UMNO di Negeri Selangor.

Penjelasan saya:

Berkenaan Presiden PAS menawarkan 2 atau 3 ADUN PKR untuk masuk PAS untuk membentuk kerajaan bersama dengan UMNO di Selangor ekoran kebuntuan cadangan pertukaran MB Selangor pada waktu itu, ia adalah pengakuan YB TG Presiden sendiri di dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat selepas ditanya oleh beberapa ahli mesyuarat.

Isu ini berbeza dengan isu perundingan antara pihak Pas dan UMNO selepas PRU 2008 yang lalu dan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Displin tidak sepatutnya keliru ada dua isu itu.

Di dalam mesyuarat tersebut YB TG Presiden ditanya benarkah ada usaha memujuk beberapa ADUN PKR masuk PAS untuk membentuk kerajaan bersama UMNO.

YB Presiden mengaku bahawa ianya benar dan pengakuan tersebut disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain. Untuk berlaku adil dalam hal ini saya kira eloklah saksi-saksi lain dari kalangan AJK Pusat yang lalu dipanggil untuk memberi kesaksian termasuk dari Presiden sendiri seperti kaedah Al Qur’an:

وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَا

“….dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya”. Surah Yusuf, ayat 26.

Isu ini dikelirukan dengan pertuduhan lain selanjutnya yang berbunyi:

• PAS telah terlibat berunding dengan parti UMNO (di Tingkat 25, Darby Park) pada 10/3/2008 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Penjelasan saya:

Ayat dalam pendakwaan di atas, pada hemat saya, telah mencampur adukkan isu perundingan antara PAS dan UMNO yang telah berlalu dalam banyak siri dan secara keliru dikaitkan dengan tarikh 10hb Mac 2008 dan juga tempat yang dinyatakan.

Sekalipun isunya adalah mengenai rundingan-rundingan belakang tabir antara pemimpin Pas dan UMNO yang saya ada sebutkan, tetapi ayat dalam dakwaan di atas adalah disusun oleh Yang Arif Pengerusi JKuasa Displin sendiri sehingga ia bercampur aduk antara satu perkara dengan perkara yang lain.

Perjumpaan antara pimpinan PAS dan UMNO pada 10hb Mac 2008 bukan diadakan di Hotel Darby Park.

Perjumpaan yang terkenal ini dilakukan antara tiga orang dari Pas menemui Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Selangor pada waktu dan tempat yang lain.

Ia berlaku sebaik selepas PRU 2008.

Sejak itu, rundingan demi rundingan ada dilakukan, termasuk berjumpa atau berhimpun di Hotel Darby Park dan kemudiannya berjumpa di tempat yang lain yang berhampiran. Dato Haji Mustapa Ali boleh dirujuk untuk mengesahkannya.

Ini selari dengan ucapan oleh Us Nasharudin Mat Isa selaku bekas Timbalan Presiden Pas yang menyebut Majlis Syura dalam mesyuaratnya pada bulan April 2008 itu, telah membuat keputusan untuk membenarkan Pas berunding, termasuk dengan UMNO.

YB TG boleh mendengar ucapan Us Nasarudin mengenai perkara ini yang menjadi viral dalam You Tube.

Sehingga hari ini, tiada penafian dibuat oleh Majlis Syura Pas.

Majlis Syura dikatakan telah melantik wakil-wakil bagi pihak Pas untuk perundingan yang telah berlangsung tanpa merujuk kepada Jkuasa Pas Pusat, sejak 2008 lagi.

Kedudukan ini, se ingat saya, tidak pernah dimaklumkan kepada Mesyuarat Pas Pusat dan dengan itu, kedudukan AJK Pas Pusat selaku pihak eksekutif seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Pas telah tidak diikuti.

Inilah isu utama yang saya bangkitkan.

Perundingan belakang tabir itu terus diadakan, seperti disebut sendiri oleh Us Nasharudin Mat Isa dalam ucapan beliau.

Transkrip verbatim ucapan saya di Majlis Demo Tanya Ambo Jawab adalah seperti berikut, yang dengan sendirinya menjelaskan, pertuduhan yang dirangkakan dalam surat Yang Arif Pengerusi Jkuasa Displin adalah keliru dan tidak tepat:

“…… Duk tengah nak bentuk kerajaan di Perak (PRU 2008) lepas mari daripada Kedah dengar khabar, tiga orang pemimpin PAS akan jupo dengan 3 pemimpin UMNO iaitu Pak Lah, Khir Toyo kerana nak membincangkan. Bincang gapo ambo tak tahu la. Mugo tak dop kertas. Saudara tadi nak bukti. Jadi kertas tak dop. Bare dalam gelap mana buleh ada kertas. Saksi ada. Saya telefonlah ko saing-saing kata tolonglah pegang Presiden tu tok soh bui gi lah. Kemarin baru rakyat pilih kita. Atas nama tidak kerajaan UMNO/ Barisal Nasional. Tolok UMNO/ Barisan Nasional ddegungg. Habis sebutir negeri. Tiba-tiba kita nak gi berunding dengan UMNO. Hancurnya harapan rakyat. Hancurnya nama baik gerakan Islam. Hancurnya kepercayaan pada kita, hok nama Islam ni, kita mulo-mulo sekali nak gi. Masa tu DAP tak dop kata jahat lagi. PKR tak kata jahat lagi mugo tak dop kerajaan lagi nak kata jahat lagu mana.

Jadi 10 haribulan 3 tahun 2008 mesyuarat berjalan, Khalid Samad gi. Khalid Samad ni kalu gi pun mugo tahu doh tidak..tidak nak bbaik dengan demo tu takpo la nak gi pun. Gi nak jadi nyendal tak ser bui bbaik. Lama adik kakok kata, hoo Khalid Samad pun nak bentuk kerajaan..Dop. Kita hantar Khalid mugo Khalid tahu doh tak ser ko UMNO tak po lah mung gi lah Khalid. Kalu tak dop mung gak buleh jadi berdakap doh. Buleh jadi. Mugo bare hok tak jadi kita nak kata lagu mana. Gi..gi..kerusi PAS campur dengan UMNO..PKR dengan DAP sama banyak tak leh bentuk kerajaan. Bak po tak kira dumoh, sebelum pada gi sakni? Tak kiro ko drumoh dulu? Bakpo yang dogel sangat. Mitok maaf lah YB, kecep Kelate pulak. Bak po yang koman sangat tu? Nak pergi tak kira dulu kerusi berapa tu? Buleh jugak kecep luar sikit-sikit dop..

Baik..pergi..pergi.. mung tengok ko aku, aku tengok ko mung..Nak bentuk kerajaan tak leh. Tapi rekod telah tercemar. 10 haribulan 3, 2 hari selepas pilihan raya umum 2008 kali pertama kita mendapat mandat sebegitu hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat.. 2 hari kita telah mencuba sesuatu yang di luar daripada fikiran kita sebagai ahli PAS. Baik… bila berlangsung terus berlangsung terus adik kakok tengok dalam youtube banyak kea ucapan YB Alwi, Kok Lanas, Presiden kita jumpa dengan Pak Lah Badawi masa tu lagi. Jupo dengan Pak Lah Badawi kalu saya nak sebut hok Alwi kata apa Presiden kata kepada Allahyarham Tok Guru masa tu Tok Guru duk hidup lagi saya tak berani nak sebut. Adik kakok tengok sendiri. Nasarudin Mat Isa, dia kata bulan 4, 2008 Majlis Syuro buat kertas kerja buleh berunding dengan parti politik termasuk dengan UMNO tapi saya sebagai ahli majlis Pas Pusat mesyuarat Pas Pusat tidak pernah dimaklumkan sepatah bahawa Majlis Syuro telah lantik perunding berunding dengan UMNO dalam gelap. Tapi Alhamdulillah saya tahu semua pergerakan tu.

Sebagai satu contoh (lain), adik kakak.. tuan puan boleh percaya tak boleh percaya… 15 minit pasukan berunding dua-dua parti masuk di tingkat 25 floor executive Hotel Darby Park.. arrr kalu nak ccayo nak bukti gi..gi ke hotel tu. Tanya hotel tu ada ko dop booking tarikh tu ada nga ambo. Malam ni ambo tak ser sebutlah. Kalu tuan bayar.. derma ko dop malam ni? Heh.. Kena derma la sikit. Lamo YB tak ingat nak kutip derma. Buke nak bayar ko ambo derma tu. Nak bayar sewa apa semua la. Baik..tingkat 25 baru masuk 15 minit ambo SMS kepada Dato Mustafa Ali. Ambo sebut nama ni kerana nak suruh ada saksi. Dia mungkin nafikan esok. Nasarudin Mat Isa ambo SMS, “berunding gapo pulak dengan UMNO tuh” Terkejut dia. Fasal…baru 15 minit duduk nak mesyuarat Husam duduk drumah Kg Kota buleh tahu ada perundingan di tingkat 25 Darby Hotel.. Darby Park, Kuala Lumpur. Adik kakok tanyo saya lagumana Dato tahu? Budak kerja hotel tu tak ser tengok PAS dengan UMNO ni bbaik. Dia SMS ko saya. Adakah PAS dengan UMNO ni tak leh bbaik? Lamo adik kakok salah faham pulak. Buleh bbaik tapi bbaik dengan kena kecep kena gendong tak leh. Bbaik dengan ada dasar dia terbuko..buleh..Bbaik kerana fulus.. tak leh. Buke saya kata ada fulus.Tapi…saya peringatkan. Daripada situ tak bereti-reti tak bereti-reti tak bereti-reti sampai mesyuarat PAS Pusat masa isu MB Selangor (yang terbaru – ia itu isu Tan Sri Khalid). Jadi sapo saksi ambo. Saksi ambo adalah semua ahli jawatankuasa PAS Pusat. Harrr… Bersaksilah tiap-tiap orang, daripada Presiden, Timbalan Presiden Mat Sabu. Tak ccayo ko dia, dia parti Amanah yang tidak amanah.. buang dia. Naib Presiden ambo, Salahudin. Dato Tuan ko masa tu.. tak ingat..Salahudin gi ko Amanah. Ambo PAS lagi.. buleh sore. Buleh sore mugo ambo PAS lagi. Ha arrr…Ketua Muslimat Kak Lah dia berani ko tak berani ambo tak tahu. Pah lagu mana nih? Pasal setengah saksi buleh jadi tak layak kerana dia sudah masuk parti lain. Tinggal saksi hok duduk dalam PAS ada hok berani dan ada hok tak berani. Lagu mana nak buat? Ambo terpulang. Ulama cari lah formula..Kalu kena kata kita bersumpah tertalak isteri pun ambo sanggup… Bakpo nih, ambo maroh ko Presiden ko? Ambo sayang pada parti ambo perjuangan ambo lebih daripada sayang kepada Presiden ambo. Ambo budak kepada Presiden ambo. Ambo masuk PAS berbaiah dengan Presiden bila mahasiswa UM wakaf kan ambo. Husam kena kerja sepenuh masa dengan parti. Ambo tak leh kerja kerajaan. Yang menerima ambo adalah Allahyarham Hasan Syukri dan Ust Haji Hadi. Bila Ust Hadi kena sakit di Istanbul serta merta kita beli tiket tak dop penuh kapal terbang. Gi kot Singapura. Tiga ore gi. Duk atas kapal terbang nengung.. Allah… Presiden kita.. presiden kita..Sapa esok kea masuk jupo Presiden. Oleh kerana Doktor kata tak leh masuk lama takut mengganggu. Masuk 3 minit 4 minit nampok dia sehat buleh kecek Alhamdulillah. Syukurnya kita. Jadi kalu kita nak ukur kasih adik kakok buleh pertikai tapi perjuangan kita… Kita nak merentoh Malaysia. Asal perjuangan kita nih. Kita tak ccayo ko UMNO, kerana pemimpin kita jugak kata nak buat perubahan keislaman mesti daripada iman dalam hati, pegangan yang kukuh fikrah yang kemah. Baru buleh buat reformasi keislaman. Nak tupe ore tak leh. Kalu kira nak tupe lamo doh kita buleh naik atas punggung muto UMNO ni gak nyo gendong ko dia lah. Nikoh ko dop tak tahu. Umno pitis banyok dia kecep la nyo kecep duk gendong atas muto dia la. Jadi sapa bilo nak habis nih?”.

Dakwaan kedua

• Memfitnah Pimpinan Kerajaan Kelantan (semasa Pimpinan TGNA) telah melakukan “penyelewengan” dalam pengurusan balak walaupun kononnya ditegur (oleh Saudara)

Penjelasan saya:

Untuk makluman YB TG Presiden, di dalam soal jawab tersebut, dalam isu pembalakan tebang habis untuk tujuan perladangan yang jumlahnya adalah tersangat luas dan memberikan kesan kewangan dan hasil negeri, ekologi dan alam sekitar seperti banjir atau kemarau dan kesan-kesan yang lain lagi, saya telah ditanya kenapa tidak menegur ketika masih di dalam kerajaan dan kenapa baru sekarang mula menegur?

Saya telah dengan secara jujur menjawab pertanyaan tersebut bahawa saya telah menegur beberapa perkara yang dianggap bersalahan dengan janji PAS untuk rakyat Kelantan. Antaranya ialah tender terbuka balak. Yang Arif boleh melihat semula kandungan manifesto PAS 1990 dan 1999. PAS antara lain berjanji kepada rakyat untuk menguruskan hasil mahsul balak secara tender terbuka.

Dalam manifesto yang dinamakan sebagai Program Angkatan Perpaduan Ummah Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1995 contohnya, PAS telah membuat janji kepada rakyat di bawah tajuk Perhutanan pada muka surat 15, perkara 7.4 iaitu “Meneruskan dasar tender terbuka untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri”.

Manifesto 1999 yang dikenali Program PAS Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1999, pada mukasurat 19, item 6.2 iaitu meneruskan langkah-langkah menjadikan perhutanan sebagai punca penting hasil kerajaan melalui (a) Dasar tender terbuka.

Saya kira elok YB TG Presiden melihat sendiri transliterasi jawapan saya dalam soal jawab tersebut;-

“Dalam kes balak ni, mintak maaflah pasal terlalu banyak orang perhuduh ambo. Bakpo tak bbetul masa dalam kerajaan dulu? Cuba doh nak bbetul. Tok Guru, dia 10 doh.. Bila mari ore tekan-tekan suruh bui ko syarikat tu syarikat ni, dia pun nak panggil buat mesyuarat. Ambo kata Tok Guru, mula kea kita janji doh nak tender, jadi petang ni ambo mitok maaf Tok Guru ambo tak leh masuk mesyuarat. Bakpo? Kalo masuk mesyuarat nama ambo ada ssitu. Pas esok2 ore kata hoh Huse ada mulo pah bakpo tak tegur. Berlaku sungguh lo loni. Tok Guru kata enta kena masuk. Haa, tu bekeng tok guru. Tok guru ada buah bekeng dia jugak. Enta kena masuk. Enta royak ko mesyuarat, jangan buat lagu ni, kita breti benda lagu ni. Masuk mesyuarat pulak. Bereti semeta 4 5 bulan. Pastu berlaku pulak.”

Jika YB TG Presiden memahami isi ucapan saya tersebut, sudah pasti YB TG Presiden dapat melihat apa yang saya tegur secara spesifik di sini ialah amalan kelulusan pembalakan tanpa tender secara terbuka (saya tidak sebutkan ‘penyelewengan’). Di sini, kalimat ‘penyelewengan’ adalah tambahan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sendiri.

Saya telah sebutkan, apabila teguran itu dibuat kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada masa itu, ia telah diarahkan dihentikan oleh beliau. Tetapi ada ketikanya, ia dimulakan semula selepas seorang anggota Jawatankuasa Kecil Perhutanan telah ditambah dengan anggota baru menjelang pilihanraya yang lalu.

Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa saya telah menuduh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar telah melakukan ‘penyelewengan’ seperti dakwaan Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin.

Isu ini telah saya jelaskan dengan agak panjang lebar dalam tulisan saya menjawab surat terbuka Dato Wan Mutalib Embong beberapa bulan yang lalu dan YB TG Presiden boleh merujuk kepada penjelasan itu untuk memahami isu ini dengan lebih jelas.

Apa yang sebutkan pada malam tersebut dan dalam tulisan-tulisan saya kepada YAB Menteri Besar Kelantan sekarang adalah amalan tebang habis untuk tujuan perladangan adalah dilakukan tanpa tender terbuka, meliputi kawasan yang terlalu luas sehingga menjejaskan pelbagai aspek dan merugikan hasil Kerajaan Negeri.

Kalimat ‘penyelewengan’ secara spesifik tidak terdapat dalam ucapan saya yang berkaitan.

Ia adalah rumusan yang silap oleh Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin itu sendiri.

Jika kata-kata saya berkaitan disifatkan ‘menfitnah Pimpinan Kerajaan Kelantan’, kenapa tidak ada tindakan mahkamah diambil ke atas saya?

Kenapa surat-surat teguran saya tidak terjawab sampai hari ini?

Saya mempertahankan teguran saya terhadap amalan pemberian hutan simpan kekal untuk pembalakan tebang habis yang sangat luas dan merugikan hasil negeri dan mengancam kehidupan rakyat.

Pertuduhan selanjutnya:

• PAS akan bertindak selaku “Penasihat” kepada kerajaan adalah merupakan satu “kerjasama politik” antara PAS dan UMNO.

Penjelasan saya:

Pertuduhan ini juga dibuat secara kesdimpulan mudah (simplified) dan kesimpulan yang salah dari ucapan saya.

Saya sekali perturunkan petikan verbatim ucapan saya berkenaan.

Dari ucapan itu, YB TG Presiden boleh lihat, kerjasama politik bukan memasuki BN adalah saya pertegaskan berdasarkan jawapan oleh YB Presiden sendiri kepada pertanyaan pemberita dan disiarkan secara viral di dalam You Tube.

Jadi, perkataan itu ‘kerjasama politik, bukan masuk BN’ adalah diucapkan oleh YB Presiden dan bukan dari saya.

Kenapa pula saya yang dipersalahkan?

Transkrip berkenaan dari majlis Demo Tanya Ambo Jawab adalah:

“Tubik isu penasihat UMNO pulok. Penasihat kerajaan Barisan Nasional. Adik kakok tengok video untuk berlaku adil pado ambo.. berlaku adil pado Presiden kito.. berlaku adil pado perjuangan kito. Adik kakok tengok, Presiden kita kata kerjasama politik.

Bila reporter tanya balik – kerjasama politik tapi tidak masuk Barisan Nasional (Ini adalah pertikan ucapan YB Presiden dalam temu bual berkenaan).

Gapo dia benda nih? Acu royak ko ambo.. Gapo dia benda nih ambo tak pehe. Sapa lloni takdop penjelasan. Paka mati ssitu. Lepas tu gak, Dato’ Timbalan Presiden kata hoh kita selama-lama dengan UMNO. Selama-lama gi kkecek kiro lagu tu bakpo? Nak jadi penasihat dia lagu mana. Penasihat kerajaan. Pah wat mari pulak hujah kerana Nabi Musa gi jjupo dengan Firaun nak nasihat dia.

Aaarrrh faham mmolek gak. Faham mmolek ayat tu.. Izhab ila fir’aun.. innahu toghoo.. Mu jangan gi nnupe make umah Firaun cari pitis mas nga dia takleh. Mung kena gi royak ke dia Tuhan 1.. buleh. Kalu mung gi nak nnupe nga dia pitis mas dia lembik loktek slaluh.

Jadi nasihat atas 4 perkara, perumahan, 1MDB, duit Malaysia jatuh, sor lagi.. GST. Jupo nga Brehim Ali 4 perkara jugak. 1MDB, SosMa, err apa nama..apa dia.. TPPA, sor lagi..aerhh tak ingat doh..eh emm takpo lah.. ambik 3 jah lah”. Tamat

Pertuduhan berikut adalah:

• Kes 1MDB, PAS mengambil pendirian untuk menyokong Najib dan Kerajaan BN

Penjelasan saya:

Ini juga sebuah pertuduhan yang dipermudahkan.

Saya tegaskan, dari ucapan saya berkenaan, saya telah mempersoalkan pendirian pimpinan utama PAS dalam isu 1MDB berdasarkan ucapan-ucapan mereka.

Transkrip Sesi Demo Tanya Ambo Jawab:

“Maaf, ambo buke tak hormat pada Dato Haron Din. Ambo buke tidak hormat pada Tok Guru Haji Hadi.

Gapo dia Dato Haron Din kata? ‘Tak logik duit masuk dalam akaun peribadi (Najib)’.

Ini betul-betul jjadi jong kako. Ore wat lari pitis negara 2 billion lebih kita jadi jong kako ‘aiiii tak masuk akal’ .. ‘tak kae gak dia bodo nak masuk akaun’… . duk mmain tak kae.. tak kae lagumana nih, nombor akaun ada ni.

Duk main tak kae .. tak kae apo nyo..

Kena mintok maaf dengan rakyat Malaysia seluruhnya. Ambo sebagai ahli PAS nak mitok maaf nga rakyat Malaysia seluruhnya. Kalau pengkhianatan kepada duit negara sebesar tu kita biarkan. La haula wala quwwatailla billahil ‘aliyyi ‘azim..

Nak jadi kerajaan Malaysia lagumana kita? Presiden PAS kata kena ada 3.. 2.. err..4 saksi.

(Ahli PAS selama ni) Duk fitnah ambo, ada berapa saksi? Duk fitnah saya ni berapa saksi ada? Bakpo yang masa kena atas saya tak dop saksi. Saya ahli PAS.. Kena atas Najib 4 saksi. Peguam negara kena pecat.. 1 saksi. Pegawai SPRM kena tukar.. 2 saksi. Kenyataan gabenor Bank Negara.. 3 saksi..Laporan-laporan dalam surat khabar.. 4 saksi. 10 saksi pun buleh cari bukan 3.. bukan 4. Bakpo kita duk alik Najib lagi? Sampai hari ni kita tak bbetul lagi.. ‘. Tamat.

Pertuduhan selanjutnya:

• Mendakwa kononnya Saudara DIPECAT dari semua Anak-anak Syarikat Kerajaan (GLC) kecuali Dua (2) sahaja

Penjelasan saya:

Perihal saya tidak dilantik semula bagi semua anak syarikat yang saya pegang sebelum pilihanraya kecuali dua, adalah diumumkan sendiri oleh YAB MB Kelantan melalui satu kenyataan media (Sinar Harian) yang diterbitkan dalam bulan Ogos 2013.

Kenyataan itu dibuat tanpa sebarang surat pemberitahuan atau pemberitahuan lain sampai ke hari ini.

YB TG Presiden boleh mengesahkan sendiri tentang perkara ini dengan YAB MB Kelantan.

Tidak dilantik semula hanya dengan satu pernyataan media tanpa sebarang bentok makluman lain, bagi saya, sama maknanya dengan dipecat.

Jika saya tidak dirundingi dalam pembentukan kerajaan sebagai anggota Dewan Harian Negeri, saya juga tidak dirundingi bah kan tidak dimaklumkan dengan pengguguran semua jawatan Pengerusi anak syarikat.

Namun begitu, ia bukan isu besar kepada saya.

Tetapi menghukum saya ketika memberitahu hal sebenar kedudukan saya yang digugurkan adalah satu perkara pelik.

Ia menunjukkan Jkuasa Disiplin yang mempertuduh dan kemudian memecat saya atas tuduhan yang mereka kenakan, langsung tidak mengetahui kedudukan sebenar yang berlaku di Kelantan.

Mereka tidak tahu saya sememangnya telah digugurkan dan bila saya menyebut hal itu, saya pula dihukum!

Ini adalah amat buruk dan tidak adil, bah kan tidak dilihat untuk berlaku adil.

Cuba tanyakan kerajaan, mana satu kedudukan yang mereka kekalkan sehingga membolehkan dakwaan saya bahawa saya telah digugurkan itu menjadi salah?

Pertuduhan seterusnya:

• Mengeluarkan kenyataan kononnya Ketua Dewan Ulama PAS bersikap seumpama “Samseng” apabila menegur tindakan saudara yang mengkritik Parti dan Kerajaan Kelantan Pimpinan PAS

Penjelasan saya:

Di dalam Islam, setiap perkara ada aturan dan tatasusilanya. Ketika Allah ingin ingin menjadikan khalifah di muka bumi, Allah boleh sahaja menjadikan manusia tanpa bersoal jawab dengan para malaikatnya tetapi Allah menunjukkan sebaliknya sebagai tunjuk ajar adab mu’asyarat yang tinggi.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”.” (QS Al Baqarah : 30)

Hinggalah kepada sekecil-kecil perkara, Allah mengajar melalui lisan dan tindakan Nabi SAW tentang aturan dan tatasusila makan, memakai pakaian dan lain-lain.

Dato’ Mahfodz selaku Ketua Dewan Ulama sepatutnya lebih arif dan faham tentang tatasusila ini. Kenapa dalam kes saya, beliau tidak menunjukkan contoh keislaman ini?

Saya tidak pernah dihubungi sebelum beliau tergamak mengeluarkan kenyataan, “Kita tidak mahu gunting dalam lipatan menjejaskan parti. Lebih baik tinggalkan parti dan sertai rakan-rakannya dalam AMANAH”(Sinar Harian, 11 November 2015)

Tindakan beliau menghalau saya keluar dari PAS tanpa mendapat penjelasan daripada saya sangat tidak cocok dengan jawatan yang disandang beliau dan perjuangan Islam yang dibawanya. Alangkah baik dan manisnya, sekira saya dihubungi atau diajak berjumpa terlebih dahulu untuk bertanya lanjut kepada saya.

Menghalau seseorang ahli parti secara terbuka sesuka hati adalah tindakan yang tidak wajar dan saya merasa terluka dengan kata-kata beliau seperti itu.

Saya tidak mengatakan beliau sebagai samseng tetapi akhlak beliau menuduh seseorang dan menggambarkan beliau mengetahui isi hati saya adalah mirip kepada perangai orang samseng.

Dakwaan ketiga:

• Mempersenda dan memperlekehkan Presiden PAS dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya seperti di bawah ini;

“nasib baik Presiden PAS tidak melarang saya hadir ke majlis pihak-pihak bertentangan kerana beliau pun telah hadir dalam majlis dengan Presiden UMNO baru-baru ini”

Penjelasan saya:

Sekali lagi Yang Arif Pengerusi JKuasa Disiplin telah membuat kesimpulan yang salah dari ucapan saya dan menyusun sendiri petikan yang dikatakan saya mengatakannya sedangkan petikan itu adalah silap dan tidak sama dengan ucapan saya yang sebenar seperti berikut:

Transkrip ucapan saya di Majlis Makan Malam AMANAH Kelantan di Petaling Jaya;

‘Saya bernasib baik kerana Presiden saya telah buat satu ketetapan: bahawa hadir dalam majlis pihak bertentangan diizinkan. Sebagaimana hadirnya Presiden saya satu pentas dengan Presiden UMNO yang menjadi musuh tradisi. Lebih-lebih lagi dalam semangat nasihat menasihati. Saya yakin akan dapat restu dari Presiden dan parti kerana tindakan saya selari dengan Presiden yang menunjukkan saya adalah seorang yang setia pada parti’.

Saya tidak nampak ada apa-apa yang salah di sini, kerana sememangnya saya menganggap tindakan yang dilakukan oleh YB Presiden adalah satu precedent yang sama dengan kes saya. Lebih-lebih lagi, pada waktu itu, tidak ada larangan khusus oleh parti untuk menghadhiri majlis sedemikian.

Pertuduhan seterusnya:

• Mengelirukan dan memberikan gambaran yang negatif terhadap PAS, antara lainnya;

• “BN sedang menggunakan siku dan lutut untuk melindungi korupsi yang mereka lakukan. Oleh itu perpaduan (UMNO-PAS) yang disandiwarakan antara dua parti politik adalah amat melucukan”

Penjelasan saya:

Kata-kata ‘adalah amat melucukan’ tidak ada sama sekali dalam ucapan saya.

Apa yang saya sebutkan adalah : ‘Perpaduan againts corruption is much more important daripada perpaduan yang disandiwarakan di antara dua parti politik dalam negara kita’.

Saya hairan bagai mana kata ‘amat melucukan boleh dipetik oleh Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sedangkan saya tidak sebutkan.

Saya katakan sandiwara kerana memang Pas dan UMNO tidak bersatu sampai hari ini, setakat pengetahuan saya.

Bila kedua pemimpin duduk sepentas sudah disinonimkan dengan penyatuan atau perpaduan, bukankah anggapan seperti itu hanya satu sandiwara sahaja. Sandiwara, setakat saya fahami, adalah sesuatu yang tidak berlaku tetapi dilihatkan sebagai seakan berlaku.

Pertuduhan berikutnya:

• Perpaduan (UMNO-PAS) yang dilaungkan dalam situasi amalan korupsi yang amat parah ketika ini”

Penjelasan saya:

Saya tidak faham apa kesalahan dalam ayat seperti ini. Ia sebuah nasihat berdasarkan kenyataan-kenyataan kedua pihak pemimpin, kecil dan besar dalam isu ini sampai hari ini.

Pertuduhan selanjutnya:

• PAS jangan rosakkan amanat TGNA sebaliknya kembalilah kepada perjuangan yang sebenar iaitu menentang kemungkaran UMNO. Kewajipan adalah menggantikan UMNO dan bukan bersama UMNO mengekalkan pemerintahan mereka”

Penjelasan saya:

Ini juga sebuah nasihat.

Saya tidak nampak apa kesalahan dalam menyuarakan perasaan dan pandangan saya selaku ahli PAS.

Dakwaan Ke Empat:

• Secara tidak wajar telah bertindak sebagai SAKSI yang memihak (bias witness) kepada DAEHANGURU INFRA SDN BHD (Plaintif) dan memberikan keterangan yang memprejudiskan BALDAH TOYYIBAH dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)
• Secara berniat serong cuba mengelirukan Mahkamah dengan memberikan ‘pandangan’ yang tidak tepat, berupa tohmahan yang cuba meletakkan kesalahan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, secara khususnya keterangan saudara yang mengatakan kononnya telah berlaku “change of direction among the new leadership of Kelantan State Government” yang menyebabkan kegagalan Plaintif melaksanakan Projek Lebuhraya KB-KK yang bernilai 1.8 billion.

Penjelasan saya:

Saya kira, pertuduhan ke empat ini sudah memasuki urusan Mahkamah yang sedang berjalan sekarang dan secara malicious, libel dan prejudis telah membicarakan saya secara di luar batas keadilan dan mungkin berbau contempt of court.

Pertama, harus difahami saya menjadi saksi bagi pihak plaintif selepas disapinakan.

Dua pihak defendan iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Baldah Toyyibah Sdn Bhd, semasa proceding mahkamah sebelum saya dipanggil memberikan keterangan, tidak pernah sedikit pun membantah kedudukan saya sebagai saksi yang disapinakan. Pada hal, mereka boleh atau sepatutnya berbuat demikian.

Hasilnya, saya telah diperentahkan oleh Yang Arif Hakim untuk disapina.

Jika kehadhiran saya sebagai saksi boleh menjejaskan kedudukan defendan dan Kerajaan Negeri, mengapa mereka berdiam diri?

Pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk yang berkelulusan undang-undang dan berkelayakan sebagai peguam, termasuk orang seperti SUA Pas sekarang, juga tidak pernah menghubungi saya atau menyuarakan bantahan mereka.

Berita tentang saya dipanggil menjadi saksi telah lama tersebar, sebelum hari saya dipanggil memberikan keterangan lagi.

Tiada sebarang respon atau inisisatif untuk saya dibebaskan dari memberikan keterangan dilakukan.

Sudah tentu, apabila seseorang dipanggil memberikan keterangan, berdasarkan sistem Mahkamah negara ini:

a. Ia tidak boleh mengelak untuk hadhir jika sapina telah dikeluarkan oleh Mahkamah. Jika tidak, waran tangkap akan dikeluarkan.

b. Ia mengangkat sumpah untuk bercakap benar dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika ia tidak bercakap benar.

Apa tah lagi, sebagai se orang Muslim, seseorang hendaklah memberikan keterangan dalam persaksian dengan jujur, benar dan adil. YB TG Presiden mengetahui nas-nas Al Qur’an dan As Sunnah tentang ini.

Samada saya bersikap bias atau tidak, sudah tentu perlu ditentukan oleh Mahkamah dan bukannya oleh pihak luar yang tidak berautoriti dan tidak mendengar kes ini secara keseluruhan seperti Jawatankuasa Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin ini.

Tuduhan ini sengaja diciptakan, sekali pun mungkin tindakan seperti ini melanggar kemulian Mahkamah dan bersifat fitnah, untuk mencari-cari kesalahan semata-mata.

Walau bagaimana pun, saya mengambil kesempatan ini untuk membuat penjelasan kepada YB TG Presiden ini duduk perkara projek Lebuhraya Rakyat Kota Bharu – Kuala Krai.

Projek ini telah diputuskan untuk dilaksanakan atas inisiatif Kerajaan Negeri selepas siri-siri mesyuarat dan keputusan parti dan kerajaan di semua peringkat. Termasuk memilih Dae Hang Guru sebagai kontraktor utama juga telah diputuskan oleh Mesyuarat Exco (MMK) Kelantan.

Saya ulangi, perlantikan Dae Hang Guru dibuat oleh Mesyuarat Exco yang dihadhiri pada waktu itu oleh YAB Dato MB dan YB Dato TMB yang ada sekarang.

Selepas PRU-13, Kerajaan Negeri menamatkan Dae HanGuru sebagai kontraktor lebuhraya berkenaan.

Saya telah membuat kenyataan media meminta Kerajaan Negeri berunding dengan pihak kontraktor dan menyelesaikannya dengan baik bagi mengelakkan apa-apa implikasi di kemudian hari yang telah disiarkan oleh Sinar Harian sebelum ini.

Malangnya, saya diberitakan, usaha pihak kontraktor untuk menemui pihak kerajaan tidak pernah dilayan, termasuk surat-surat yang dihantar supaya penamatan itu diberikan justifikasi yang wajar.

Akhirnya, selepas pintu rundingan tertutup, pihak kontraktor berkenaan terpaksa mendapatkan keadilan di atas kedudukan mereka melalui tindakan Mahkamah.

Sepanjang tempoh proses Mahkamah, saya difahamkan pihak Yang Arif Hakim beberapa kali mencadangkan satu penyelesaian di luar Mahkamah dibuat oleh kedua-dua pihak tetapi pihak defendan telah menolak.

Tuduhan (b) yang berbunyi ‘secara berniat serong cuba mengelirukan Mahkamah dengan memberikan ‘pandangan’ yang tidak tepat…’ adalah sebuah tuduhan yang serius.

Ia sudah mencampuri urusan Mahkamah dan bersifat subjudis dan prejudis terhadap saya.

Apa lagi, Jawatankuasa ini sendiri tidak lebih tahu dari saya mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan kedudukan yang sebenar.

Tindakan ini memberikan gambaran, seseorang, atas kepentingan kumpulan mereka, boleh memberikan keterangan yang salah semata-mata untuk memenangkan kumpulan mereka (Kerajaan negeri atau anak syarikatnya selaku defendan).

Saya juga mencadangkan YB TG Presiden membaca keseluruhan affidavit saman kontraktor ini untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak, seperti dituntut oleh Islam.

Saya juga memohon semua pertuduhan dan ayat-ayatnya yang digunakan ke atas saya dalam pertuduhan berkaitan isu ini ditarik balik oleh parti serta permohonan maaf terbuka dibuat kepada saya.

Jika tidak, saya mempunyai hak untuk pada mana-mana masa, mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya di atas kata-kata yang tidak wajar berkenaan.

Sebagai latar belakang tambahan, di pertengahan Ramadhan lepas ketika saya masih lagi dalam keuzuran, ada penulis-penulis media sosial yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan negeri telah memfitnah saya. Saya dikatakan membolot kayu kayan di laluan lebuh raya ini dan telah terlibat dengan pembalakan haram ke atas kayu kayan itu.

Saya berharap agar jawatankuasa ini juga turut menyiasat tuduhan-tuduhan seperti itu kepada saya.

Sebagaimana fitnah oleh segelintir AJK Pusat yang ada sekarang. Di antaranya, saya dituduh mempengaruhi 2 Adun PAS di Selangor untuk menyokong Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Berkait fitnah saya telah membolot kayu kayan atas laluan lebuhraya berkenaan, saya telah menulis dalam whatsapp group yang dianggotai oleh YAB MB, TMB, YB Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat dan lain-lain pimpinan kerajaan Kelantan untuk membersihkan nama saya di dalam isu mencuri balak di dalam Hutan Ulu Sat dan tuduhan mengatakan saya telah mengambil kekayaan daripada balak di laluan lebuhraya tersebut.

Malangnya, tidak ada satu orang pun dari mereka yang memberikan simpati kepada saya.

Untuk membersihkan nama saya, saya telah menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, YB Dato’ Hj Hanifa Ahmad.

Saya juga telah melawat sendiri tapak projek berkenaan dan melihat kayu balak yang dicuri telah disita oleh Jabatan Hutan Negeri.

Saya telah membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini dan pihak SPRM telah masuk menyiasat dan mendapati 5 kawasan tersebut telah gondol kerana dicuri.

SPRM juga telah membuat kenyataan media mengatakan adanya unsur rasuah dari kejadian itu.

Sehingga hari ini, tidak ada apa-apa tindakan diambil kepada pihak-pihak berkenaan.

Hasil dari tindakan itu, barulah tuduhan saya membolot balak berkenaan tidak lagi kedengaran.

Jika saya sendiri tidak bangkit membela diri saya dalam isu ini, saya yakin tohmahan dalam isu ini akan berlarutan dan isu pembalakan haram akan tenggelam.

YB TG Presiden patut menilai isu ini secara lebih mendalam dan mendapatkan kedudukannya yang benar dan tidak menjadikan saya sebagai kambing hitam atas kesalahan-kesalahan pihak lain.

Dakwaan Ke Lima

• Mempersenda dan mempersoalkan langkah dan/atau kaedah Parti PAS dan membawa Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen bagi meminda Akta 355.
• Membuat tuduhan kononnya langkah di atas adalah kerana didorong oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Menteri tertentu (tidak disebutkan nama atau portfolio) yang menghantar wakilnya ke Kelantan pada 18 Mac 2015
• Membuat tuduhan dan meletakkan kesalahan ke atas Presiden dan pimpinan tertentu yang lain yang kononnya menyebabkan RUU Akta 355 tidak diluluskan di Parlimen.

Penjelasan saya:

Tindakan membawa usul untuk meminda Akta 355 secara Bill Persendirian atau Private Member’s Bill ke Parlimen atas nama Presiden selaku Ahli Parlimen bagi Kawasan Marang, jelas bercanggah dengan keputusan parti dan juga keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah Syariah Peringkat Persekutuan Bil.3/ 2014 bertarikh 18-20 Disember 2014 yang berlangsung di Dewan Kijang 6, Aras 3, Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Jawatankuasa Bersama antara Kerajaan Negeri dan Pusat itu telah sebulat suara antara lain memutuskan usul berkenaan hendaklah dibawa oleh Menteri setelah melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada bulan Mac 2015 dan seterusnya dibentangkan oleh Menteri pada bulan Mei/Jun 2016.

Persoalan besar di sini ialah kenapa keputusan yang dibuat bersama itu dilanggar?

Ketika membincangkan isu Akta 355 ini, Jawatankuasa Pas Pusat yang bersidang sebelum usul itu dibawa telah memberikan pandangan supaya usul itu dibawa sendiri oleh Kerajaan Pusat. Jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat itu mengambil maklum akan perlunya proses yang paling masak dan matang diambil bagi membolehkan pindaan Akta itu menjadi kenyataan.

Usul yang ditandatangani oleh Presiden telah dihantar ke Parlimen pada 18 Mac 2015 iaitu sebelum pun Enakmen Jenayah Syariah yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan diluluskan. (Lazimnya, jika benar pindaan Akta 355 di Parlimen memerlukan kelulusan Enakmen Jenayah Syariah di DUN Kelantan – ia dilakukan selepas penggazetan Enakmen itu. Ini semua tidak berlaku kerana ketergesaan luar biasa. Apakah yang mendorong ketergesaan luar biasa itu?)

Selepas usul itu difailkan, barulah satu mesyuarat Lajnah Politik Pas Pusat diadakan untuk membincangkannya. Dalam mesyuarat itu , YB Dato’ Takiyuddin Hassan yang ketika itu adalah Penolong Setiausaha Agong PAS menjelaskan usul perlu disegerakan kerana untuk mengejar masa bagi membolehkan ianya dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung dan akan berakhir dalam bulan April 2015 itu.

Mengenai adanya wakil Menteri dan seorang Pegawai Parlimen mengunjungi Kerajaan Negeri samada pada 17 atau 18 Mac itu 2015 dan kononnya membawa mandat Menteri untuk meyakinkan perlunya usul itu di bawa secara Bill Persendirian secepat mungkin dan tidak mengikuti keputusan asal Jawatankuasa Bersama, perkara ini boleh diselidiki sendiri oleh Jawatankuasa Disiplin dengan pihak-pihak berkenaan. Saya mempertahankan dakwaan saya.

Hendaklah diketahui, YB Dato Taki dan YB Dato Jamil Khir adalah kawan rapat sejak zaman sekolah.

Saya sesungguhnya curiga, dengan agenda sebenar pindaan Akta itu secara Bill Persendirian.

Selepas saya membangkitkan isu ini, YB Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan telah membuat kenyataan usul berkenaan tidak boleh dibentangkan di antara lain kerana belum mendapat persetujuan Raja-raja Melayu.

Kenapa ianya tidak ditimbangkan semasa pihak berkenaan memberikan nasihat kepada Presiden untuk membawa usul berkenaan secara amat tergesa-gesa, setahun yang lalu?

Bukankah itu sebenarnya yang telah mencemarkan imej Presiden?

Saya hanya mengkritik aspek pengurusan yang membawa kepada usul itu dimasukkan dan ternyata sehingga hari ini, ia gagal diluluskan.

Jadual asal yang telah dipersetujui, pembentangan usul ini oleh Kerajaan akan berlaku pada bulan Mei/Jun 2016.

Sungguh pun begitu, ramai masih sangsi adakah dengan lulusnya pindaan Akta 355 itu nanti, membolehkan pelaksanaan penuh undang-undang syariah atau sekadar gimik politik tertentu.

Jika ucapan saya didengar dengan teliti, saya telah menyebutkan saya tidak mempersalahkan Presiden tetapi mahu dua pemimpin Pas yang berkenaan mengambil tanggung jawab meletakkan jawatan kerana telah menasihati Presiden secara salah dalam isu sebesar ini dan membelakangkan proses keputusan parti.

Sebaik sahaja berita mengenai cadangan Usul Persendirian berkenaan disiarkan oleh media, saya bersama Dr Dzulkifli Ahmad dan YB Dr Syed Azman telah berkunjung menemui Presiden di kediaman YB TG di Rusila. Di dalam perjumpaan tersebut, YB TG Presiden telah memberi keyakinan berdasarkan maklumat-maklumat yang disampaikan kepada YB TG bahawa usul tersebut akan diberi peluang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen bulan April 2015 itu juga dan bacaan kali kedua serta perbahasan di dalam persidangan parlimen bulan Jun 2015.

Malangnya perkara tersebut jauh daripada berlaku. Ini menunjukkan Presiden telah diberikan nasihat yang salah oleh sesuatu pihak yang menjadi tugas parti termasuk jawatankuasa disiplin untuk menyiasat siapakah pihak-pihak berkenaan.

Teguran terbuka saya ialah supaya pihak-pihak luar tidak mempengaruhi cara parti membuat keputusan sehingga menimbulkan imej yang tidak baik dan agenda-agenda berkaitan seolah-olah disabotaj secara halus.

Semoga dengan teguran terbuka ini menyedarkan banyak pihak yang berkaitan.

Pembentangan Akta 355 secara Bil Persendirian tanpa melalui proses yang betul telah memberikan kesan politik dan telah mengubah banyak perkara yang telah dicapai oleh Pas selama ini. Ia menimbulkan kebimbangan berlebihan tanpa asas semata-mata kerana keluarbiasaan pindaan yang dikatakan biasa itu telah cuba dibuat.

Ia se akan mempunyai agenda tersirat dan menjadi buah catur politik pihak-pihak tertentu lebih dari agenda pelaksanaan undang-undang syariah sepenuhnya seperti yang diwar-warkan.

Ucapan saya itu dengan harapan untuk satu koreksi diri atau muhasabah yang jujur dapat dilakukan.

YB TG Presiden,

Dengan ini, saya menyimpulkan, saya berpendirian ke semua pertuduhan ke atas saya seperti berikut;

i. Ingkar kepada Perlembagan Parti dan Aturan dan Peraturannya
ii. Ingkar kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti,
iii. Gagal melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti,
iv. Gagal menjaga dengan cermat rahsia-rahsia Parti
v. Gagal mengamalkan akhlak Islam
vi. Gagal mengawal diri dari melakukan sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti.

adalah tertolak dan tidak benar.

Tidak ada arahan dan perintah parti yang saya langgari dan Jkuasa Disiplin gagal menunjukkan mana perintah parti yang telah saya langgari.

Tidak ada mana-mana kewajipan yang ditugaskan oleh parti yang saya langgari dan Jkuasa Disiplin gagal menunjukkan mana kewajipan parti yang saya langgari

Tidak ada mana-mana rahsia Parti yang merugikan Parti yang saya gagal menjaganya. Rahsia yang sudah diketahui umum yang boleh merosakkan Parti tidak boleh disabitkan ke atas saya kerana peruntukan agama Islam membenarkan teguran dibuat ke atas pelanggaran amanah perjuangan

Setakat ingatan saya, saya tidak gagal mengamalkan akhlak Islam bahkan saya telah menjadi mangsa kepada akhlak buruk yang telah berkembang di kalangan segelintir pimpinan Pas, termasuk Yang Arif Pengerusi Jkuasa Disiplin sendiri yang telah menganiayai saya dengan tuduhan bersifat fitnah menjelang Muktamar Pas yang lalu

Saya juga tidak gagal mengawal diri dari melakukan tindakan yang menyalahi dan merugikan parti. Melainkan tindakan saya adalah sebagai respon terhadap tindakan, ucapan dan gerakan yang akhir-akhir ini dilakukan oleh segelintir pemimpin Parti yang menyalahi dan merugikan parti,

Saya sama sekali tidak ingkar kepada Perlembagaan Parti dan aturan dan peraturannya. Bah kan, tindakan saya adalah berdasarkan Perlembagaan Parti Fasal 3, Fasal 5, Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 14.

Dasar Pas ialah Islam. fasal 3

Islam mengizinkan teguran, kritik, pandangan dan nasihat diberikan.

Tujuan Pas ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya. Fasal 5.

Nilai hidup Islam dan hukumnya termasuk kebebasan bersuara atas kebenaran, menghindari perbuatan pemerentah yang bertentangan dengan amanah yang diberikan dan merugikan rakyat jelata dan bersuara membetulkan kepincangan.

Hukum tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul. Fasal 7

Al Qur’an sangat menganjurkan perbaikan masyarakat, tegur menegur, menegakkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran:

لَوْلاَ يَنْهَاهُمُ الرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ عَن قَوْلِهِمُ الإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَصْنَعُونَ

“Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram?. Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu”. – 5:63

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ

“Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas”. – 5:78

كَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

“Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”. – 5:79

YB TG Presiden,

Saya menegasakan, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan baik mengikut perlembagaan Pas mahu pun ukuran Islam.

Apa tah lagi, pertuduhan yang dikenakan adalah sangat dangkal dan tidak menepati prinsip penyiasatan yang kemas.

Saya juga tidak diberikan keadilan penghakiman dan perbicaraan seperti mana yang dituntut oleh Islam.

Saya dengan ini menyeru supaya pemecatan ke atas saya di batalkan dan ditarik balik.

YB TG Presiden,

Kepimpinan YB TG sejak akhir-akhir ini telah teruk tercalar.

Saya tidak ingin menghuraikan sebab-sebabnya secara panjang lebar. Tetapi apa yang telah YB TG Presiden ucap dan tuliskan selama ini, tidak sama dengan apa yang berlaku sekarang ini.

Sungguh pun YB TG adalah seorang pemimpin besar, tidak ada salahnya manusia kerdil seperti saya berpesan dengan pesanan : Bertaqwalah kepada Allah. Ingatlah, para pemimpin semuanya akan ditanya akan kepimpinan mereka, seperti mana hadis Nabi s.a.w yang masyhur.

Sekian, wassalam.

Akhukum Fi Llah

Husam Musa
Kg Kota , Kota Bharu, Kelantan
19 Sya’aban 1437/
26 Mei 2016

KERAJAAN DAN WUDHU’

12249677_925569464188915_5520308330181655812_n

KERAJAAN DAN WUDHU’

Politik bukan segala-galanya. Dan seluruh hidup ini bukan hanya untuk politik.

Tetapi – ketika anda sebagai Muslim telah mempunyai kuasa politik – ia boleh mengubah, mewarnai dan memberi bentuk kepada banyak perkara.

Banyak perkara pula dalam hidup ini lebih luas dan beraneka dari hanya politik. Tetapi politik dan minda orang politik boleh pula menjadi penggubahnya.

Bagaimana memudahkan orang Islam termasuk pegawai, penjawat awam, pekerja kilang, staf di pejabat dan orang ramai untuk berwudhu’ dan sentiasa dalam wudhu’.

Kenapa?

Banyak hadis Nabi s.a.w yang menyebut: “Hanya si mu’min yang sentiasa memelihara wudhu’nya”.

Sentiasa berwudhu’ adalah tanda aras keimanan. Juga, sentiasa dalam wudhu’ sangat dituntut dari kita.

Rasulullah s.a.w dalam hadis yang lain (Sunan Ibni Majah – hadis no 277/278/279) memberikan pelajaran paling berguna.

Hidup ini singkat. Kebajikan yang perlu diperbuat terlalu banyak.

Antara sekian banyak kebaikan yang nanti berguna untuk si mu’min ialah: Solat dan sentiasa berwudhu’.

Sentiasa berwudhu’ menjadikan anda sentiasa berpahala, pada hal anda sedang ‘berpencak’ dengan pelbagai aktiviti hidup.

Jika anda di pejabat kerajaan atau lainnya, bila wudhu’ yang anda bawa dari rumah tadi pagi telah terbatal kerana tuntutan fitrah apa saja, tidak mudah untuk anda berwudhu’ semula di kebanyakan tandas biasa. Kecuali anda bergegas ke surau dalam satu-satu kompleks pejabat.

Lalu? Saya dan anda ingin sekali memperbaharui wudhu’ – tetapi kemudahan yang tidak kondusif menyebabkan kita segera melupakannya.

Nanti zohor bila kita akan bersolat, barulah wudhu’ kita akan diperbaharui.

Hitungkan berapa jam dari kehidupan kita yang singkat dan tidak akan berulang semula sampai bila-bila ini, kita kehilangan ‘credit hour’ kita?

Pada hal, kalau paipnya senang dan kemudahannya simple, kita semua untuk beberapa jam itu akan berada dalam wudhu’ sambung menyambung.

Membudayalah kita sebagai melangsungi lebih banyak jam tanpa wudhu’ dalam kehidupan harian kita dari lebih jam berwudhu’.

Kita telah memayahkan diri kita sendiri.

Pada hal, kuasa politik dipegang oleh kita.

Kita bahkan tidak dapat membudayakan rekaan bangunan kita semua dengan kedudukan kita sebagai Muslim.

Tandas kita hanya untuk ‘membuang’ dan bukan membangunkan jati diri kita?

Orang politik boleh mencetuskan minda ‘si Muslim mesti mudah berwudhu’ dalam kerajaan saya’ – tetapi tentulah arkitek dan profesional lainnya menjayakannya.

Saya terpanggil mencatit nota tak seberapa ini selepas seharian semalam, menjadi tamu kepada sebuah syarikat pengendali air kumbahan terbesar di China.

Sungguh pun semalam adalah hari minggu bagi syarikat mereka, se orang pengurus syarikat ini bermurah hati membawa saya melawat ibu pejabat mereka dan diberikan taklimat kecanggihan teknologi dan konsep pembangunan mereka (ada kesempatan, saya akan kongsikan).

Tema mereka ialah : AIR DAN ECO UNTUK SURVIVAL UMMAT MANUSIA.

Berkedudukan top 150 dari syarikat paling besar di dunia – dalam tempoh hanya 23 tahun, mereka telah berjaya membangunkan teknologi dan perniagaan yang berwasasan hampir hanya nostalgia untuk dekad yang lalu. Atau, untuk orang yang malas mengimpikan sesuatu yang berbeza.

Diskusi kami lewat meja hidangan hampir petang, saya membawakan sedikit falsafah ‘air’ dari perspektif Islam, termasuk wudhu’.

Itu mendorong saya menurunkan catatan ringkas ini.

Husam Musa
22 November 2015
10 Safar 1437

SAYA BERSEDIA

I

Menemui Dewan Harian Pusat – Saya Bersedia

Saya menghargai kesedian Dewan Harian Pas Pusat memanggil saya untuk menjelaskan teguran saya terhadap perjalanan kerajaan Kelantan.

InsyaAllah saya bersedia berbuat demikian.

Mengikut kenyataan SUA Pas, notis telah dihantar kepada saya (melalui pos?), malangnya saya belum menerimanya.

Saya meninggalkan Malaysia pada Sabtu, 14hb November. Sehingga tarikh itu, saya tidak menerima apa-apa surat. Kini saya di China tetapi jika benar notis itu dikeluarkan, saya tetap boleh dihubungi melalui sms, whatsapp atau e mail.

Namun tidak satu cara pun saya dihubungi.

Dalam kenyataan pertama SUA petang semalam, dikatakan perjumpaan itu adalah pada 24hb November ini (lima hari notis). Sejam kemudian, berita laman web menunjukkan ia diubah kepada 26hb November.

Nampak jelas ia diputuskan amat tergesa-gesa. Mengapa? Apa yang hendak dikejar?

Jadual asal untuk saya pulang ialah 22hb (empat hari sebelum perjumpaan yang baru dijadualkan) tetapi mungkin atas nasihat doktor, rawatan saya dilanjutkan beberapa hari lagi.

Memandangkan notis itu amat singkat, saya sangat menghargai jika SUA Pas dan DH Pas Pusat dapat menangguhkan, sekurang kurangnya seminggu selepas saya berada dalam negara.

Ini untuk membolehkan masa dan keadaan yang lebih selesa bagi saya menyediakan apa-apa persiapan perlu.

Saya yakin, ia bukan masalah besar kepada Dewan Harian Pas Pusat untuk meletakkan satu tarikh baru yang lebih selesa.

II

Larangan Debat Saya-Dato’ Mustafa

Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga jam selepas persetujuan oleh Dato’ Mustafa, seakan menunjukkan ada sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar. Juga tiadanya penyelarasan keputusan di kalangan pimpinan tertinggi Pas dibuat.

Bukankah Dato’ Mustafa adalah juga anggota Dewan Harian?

Adakah keputusan Dato’ Mustafa tidak dirujuk lebih dahulu kepada pimpinan parti?

Atau persetujuan Dato’ Mustafa hanya satu sandiwara semata-mata?

Dengan itu, Dato’ Mustafa tidak akan dikata orang segan dan enggan berdepan menafikan dakwaan saya?

Atau Pas tidak ada keyakinan dan kepercayaan kepada kebolehan Dato’ Mustafa?

Cara ini memburukkan imej parti dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang besar dan berwibawa.

III

Debat 21hb: Fir’aun Pun Berunding Dengan Musa

Sehebat dan segagah Fir’aun sekalipun, bila hendak ditentukan masa, tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional sihir Di Raja, Fir’aun merundingi Musa.

Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.

Pada hal Fir’aun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku.

Nabi Musa – mengikut Al Qur’an – yang mencadangkan:

– Masa : Dhuha/di waktu pagi sinarnya belum tersangat terik (Surah Ta Ha : ayat 59)
– Tempat : Juga dicadangkan oleh Musa, iaitu di ibu kota (namun saya tidak sempat merujuk ayat berkenaan)
– Tarikh : Yaumu Ziinah/hari perayaan nasional ( Ayat yang sama)

Bahkan format pertarungan itu pun berlaku perbincangan. Ayat 65 dan 66 Surah Ta Ha menyebut jurucakap Ahli Sihir Fir’aun bertanyakan Musa siapa patut memulakan lemparan. Musa mencadangkan ia dimulakan oleh pihak Ahli Sihir.

Itu aturan dari dunia peradaban silam. Ia kekal hingga kini sebagai amalan bersopan yang diikuti di mana-mana.

Al Qur’an membawa kisah ini untuk membentuk peradaban ummat ini juga.

Namun, rupanya ada juga insan yang ingin mempamirkan keberaniannya yang luar biasa dengan menetapkan sendiri tarikh, tempat, masa dan segalanya berkait apa yang dikatakan debat saya dan beliau.

Hingga kini saya tidak pernah dihubungi walau pun sepatah dalam apa jua bentuk.

Saya tentunya tidak lebih baik dari Nabi Musa a.s dan dia tentunya tidak lebih buruk dari Fir’aun.

Mengapa untuk isu ‘debat’ yang tidak sehebat mana pun, perlukan eksploitasi serendah itu?

Dunia sudah menjadi begitu sempit untuk satu pengaturan yang bersopan?

Secara bersendiri, hero kita ini menetapkan tarikh besok untuk saya bertemunya di KUISZM.

Saya tidak ada masalah menemui beliau di mana jua.

Tetapi biarlah resam diikuti ramai digunakan.

Janganlah kerana beliau begitu hebat, insan kerdil yang lain kena mengikut semua telunjuknya, hatta tarikh debat pun hanya beliau yang mesti tentukan seorang diri.

Jika watak seperti ini menjadi sebahagian kerajaan negara ini atas apa jua platform, apa akan berlaku?

Jika orang yang lebih hebat dari beliau iaitu Dato’ Mustapa pun InsyaAllah saya sanggup berdepan, tidaklah satu keberatan untuk saya menemui beliau.

Biarlah ia diatur secara persetujuan bersama. Bila-bila pun saya bersedia, jika tidak bertindih dengan temu janji yang telah diatur lebih awal.

Husam Musa
20 November 2015
8 Safar 1437 H

Pautan : Bantuan Kebajikan YDH
Klik : https://goo.gl/IUWzG6

Al-Fatihah Buat KH Zezen Zainal Abidin

KH Zezen Zainal Abidin, atau saya panggilnya Pak Jejen, telah kembali ke Rahmatullah pagi ini.

Guru dan teman saya dari Pasantren Azzainiyyah, Sukabumi, Jawa Barat.

Beliau yang pertama mendiskusikan saya Tafsir Al Jailani yang baru kebelakangan ini diterbitkan semula selepas sekian lama disembunyikan dari edaran awam.

Ulama sufi tapi kontemporer.

Beliau penggubah lagu rasmi Sukabumi.

Pernah berjaya mengumpulkan pemerintah termasuk polis dan tentera, ulama dan rakyat jelata dalam satu persidangan syariah di Sukabumi.

Syariah itu, meliputi semua rukun Islam yang lima, selain hukum bernegara dan bermasyarakat – bicara beliau.

Syariah harus bermula dari solat berjamaah yang dihidupkan dan praktik zakat yang dapat dirasai kesannya oleh masyarakat – itu yang diusahakan melalui pasentren beliau, selain aturan syariah dalam perspektif yang lebih luas.

Konsepnya mungkin sama tetapi pendekatan Pak Jejen ialah empowerment seramai mungkin anak mukim sekitar Sukabumi untuk kutipan dan agihan zakat bagi mewujudkan erti dari kesejahteraan yang dijanjikan Islam.

Saya menziarahi beliau di Sukabumi dan kerap pula beliau menjadi tamu di rumah kami.

Banyak hikmah kebijaksanaan yang saya tumpangi beliau.

Entah dari mana beliau mendapat berita tentang ancaman kepada kami, Pak Jejen menalipon saya dengan suara lembutnya lima enam hari yang lalu. Tak disangka itu suara terakhir beliau di telinga saya.

Usianya belum melanjut tua tetapi takdir Ilahi sudah memanggil dia pergi.

Ya Rabb, aku kehilangan seorang lagi temanku di jalanMu.

Al Fatihah

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

I . ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB

Kenyataan Media

Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini:

1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK
2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah
3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015

Kerajaan juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir tahun lalu yang masih belum siap.
Menjelang bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa musim tengkujuh.

Pada masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat dengan jayanya.

Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan.

Oleh itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Di Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya’kub sebagai Menteri Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Sekian. Terima kasih.

Pegawai Media
Menteri Besar Kelantan
4 November 2015
—————
Di atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB.

II. SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH?

Saya melihat – Pas yang berubah.

Kalau berkait dengan parti – saya tetap berpendirian – dalam politik Malaysia Pas perlu berusaha menjadi ‘kepala’ dan bukan ‘ekor’ membawa Islam sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara.

Di Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU – Pas Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini)

Hari ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi ‘Penasihat’ ekoran kenyataan beliau : ‘Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan…’ (Sinar Harian, 1 November 2015). ‘Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi’ ( Sinar Harian, tarikh sama)

‘Kita mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan’, katanya. (sumber sama)

‘Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO’ – Sinar Harian, 6 Jun 2015.

Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini.

Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya.

Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?

Semua kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi.

Saya dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah?

Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?

UG adalah contoh lain.

Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri.

Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS?

Jika tidak, kenapa?

Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka.

Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG.

Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu?

Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar?

Saya berubah atau Pas berubah?

Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan?

Parti mana yang telah menyambutnya?

Jika tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah itu menjatuhkan reputasi Pas?

Jika rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan oleh Pas Pusat.

Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat.

Termasuk apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April 2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan parti-parti termasuk UMNO.

Keputusan itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa eksekutif parti.

Saya berubah atau Pas berubah?

Kalau konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan secara sah?

Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan.

Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada?

Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO?

Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?

Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan.

Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula.

Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru.

Saya mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan selepas sesuatu pendirian parti diumumkan.

Saya akui, itu adalah agak saya sahaja.

Nampaknya cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media, rundingan dengan PM baru hendak dimulakan.

Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran.

Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan?

Adakah awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak dilonggokkan kepada saya?

Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan.

Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan.

Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya.

Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan?

Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?

III. MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER

Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya ‘Apa Husam mahu?’

Bagi mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini.

Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan.

IV. PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR

Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor.

Sebagai seorang muslim yang wara’ dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.

Fakta bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

Antara ‘ya’ dan ‘tidak’ sahaja yang diperlukan. Adakah ‘ya’ atau ‘tidak’ Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?

Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan:

– Apa yang saya sebutkan adalah benar.

– Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.

– Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk ‘Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS’ – saya harap dapat ditarik balik serta merta.

Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa.

Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat.

Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung.

HUSAM MUSA
25 Muharram 1437
7 November 2015

Idris Penyokong Gaji Wakil Rakyat Mesti Besar?

Idris Penyokong Gaji Wakil Rakyat Mesti Besar?

Sinar Online menyiarkan ingatan YB Idris Ahmad kepada saya berkait kenaikan gaji MB/TMB dan Adun Kelantan.

Tak sangka beliau juga seorang yang melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat.

Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh Pas nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.

‘Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat’ – itu logik YB Bukit Gantang.

Ya kah begitu?

Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.

Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?

Berbalik isu di Kelantan, adakah ‘timing’ dan ‘keadaan’ sekarang sesuai?

Adakah semua rumah rakyat dihanyut bah sudah terbina?

YB Idris meminta saya menyemak data mengenainya.

Siapa yang perlu menyemak? Saya atau Idris?

Sebagai Ahli Parlimen, dia patut tahu laporan menunjukkan masih banyak yang belum siap.

Tunggakan guru YIK belum berbayar sejak 16 bulan.

Bayaran pencarum Kifalah juga tertunggak.

Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen. Dikhabarkan, mereka akan dibayar setakat sepuluh bulan sahaja bagi tahun ini.

Masih ada masa gaji Adun disemak. Bukan tak boleh semak.

Bulan Mac depan, Dun Kelantan akan bersidang lagi.

Saya percaya, masa itu sebahagian besar isu yang saya bangkitkan di atas telah diselesaikan.

Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.

Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban.

Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak.

Kewajipan langsung kerajaan kepada rakyat, seingat saya Pas mengajarnya, lebih utama untuk diutamakan.

Sudah selesai kewajipan langsung yang lebih utama, jika kemampuan kewangan mengizinkan, tidak ada salahnya keperluan terkini wakil rakyat disemak.

Mempertimbangkan ‘timing’ dan ‘keadaan semasa’ akan membolehkan wakil rakyat dipilih semula dan menikmati elaun yang telah dibesarkan itu. Jika tidak, mereka hanya akan menerima pencen saja….

Husam Musa
23 Muharam 1437
5 November 2015

Teks Ucapan Gabungan Impian Kelantan

Gabungan Impian Kelantan
31 Januari 2015

Sabda Nabi s.a.w bermaksud:

“Jikalah bukan kerana impian masa depan si ibu, tidaklah ia menyusukan anaknya’.

Impian adalah benih sebuah gagasan. Permulaan sebuah kejayaan. Gambaran sebuah harapan.

Impian mempunyai kekuatan.
“I have a dream….”, oleh Martin Luther King JR, tentang persamaan hak antara kulit hitam dan putih bagi negara Amerika di waktu penindasan ke atas kulit hitam masih berleluasa, impian itu, kini menjadi realiti.

Mimpi-mimpi dalan kisah Nabi Yusuf, akhirnya menjadi realiti.

Impian boleh dalam bentuk idea-idea kasar, idealisma, atau harapan apa seharusnya terjadi.

Bahtera Nuh bermula sebagai design, bentuk dan kegunaan dalam fikirannya, hasil ilham dan wahyu Ilahi;

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا

“Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami…”

Lalu Nuh a.s mengumpulkan peralatan, bahan binaan, baginda sendiri sebagai tenaga kerja, pada akhirnya, sebuah bahtera tercipta buat pertama kalinya dalam sejarah peradaban manusia.

Impian untuk terbang, melahirkan kapal terbang.

Begitulah seterusnya, asal saja ada kesungguhan menjelmakan impian itu.

Impian Kelantan selepas bah mega, atau Kelantan Impian – dengan itu, bukan lah satu konsep yang asing.

Hadhirin-hadhirat,

Saya sungguh merasa bertuah, dapat berdiri di sini pada malam ini, dalam misi yang sama dan mulia – bersimpati terhadap rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega – lalu berusaha mencari jalan membantu mereka.

Dalam misi ini – Pelanggan utama kita adalah rakyat Kelantan yang terkesan oleh Bah Mega/Our anchor client is Kelantanese affected by recent mega flood

Konsep kita: Sungguh pun Bah membawa kemusnahan, ia adalah satu peluang meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan menyeluruh mereka yang terlibat.

Sesuai falsafah yg ditunjukkan oleh satu doa Nabi s.a.w : “Gantikan kami (dari musibah/kemusnahan ini) sesuatu yang lebih baik dari apa (sebelumnya)”

Bermakna, kemusnahan oleh satu bencana, bukanlah akhir sebuah kehidupan. Bah kan, ia permulaan sebuah pembaharuan. Kerana itu kalimah ‘wakhlifna’/ gantikan – khairan minha/baiknya lebih dari yang sebelumnya.

Kesegeraan adalah motto kita. Kelambatan menjadikan penderitaan baru menimpa penderitaan sedia ada.
Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita bermalam di bawah khemah?
Hari ini sudah berapa hari saudara mara kita berhujan panas tanpa rumah?

Kesegaran Idea dan kecepatan tindakan adalah kelebihan gerakan NGOs, tanpa General Order yg membelit dan Standart Operating Procedure(SOP) yang kaku.

Kepuasan berkhidmat dan keringanan penderitaan adalah tanda aras minima.

Pendekatan kita sebagai Ngos, tentulah :
-friendly dengan semua,
-pada masa yang sama, membawa suara akar umbi,
-profesional dalam pendekatan,
-terbuka dalam memburu solusi terbaik,
-kritikal pada tempatnya dan fokus kepada peningkatan kesejahteraan golongan terkesan dengan semangat ketergesaan dan kecepatan – sesuai dengan kedharuratan besar yang berlaku.

Hadhirin-hadhirat,

Secepat bah datang, secepat itu pula reaksi ratusan NGOs, qariah masjid, orang perseorangan, pertubuhan luar negara dan institusi, tampil menghujani bumi di landa bah dengan pelbagai jenis bantuan.

Bah Mega telah membawa membawa banyak kawan dan persahabatan. Bila hujan telah berhenti dan bah telah surut, dibanjiri pula oleh gerakan ngos dan hujan kasih dan perhatian banyak pihak.

Saya dan kita semua amat kagum dengan komitmen itu.

Sejumlah NGOs telah bersatu di bawah pimpinan Prof Dr Din berpusat di HUSM. Mereka mengadakan mesyuarat penyelarasan pada setiap malam. Siangnya, anggota merayap mengharungi saki baki Bah menyampaikan bantuan.

Setiap hari puluhan kontena bantuan dari seluruh negara tiba. Gerakan mereka begitu sistematik dan cekap.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah pada mereka semua dan jutaan terima kasih kepada pentadbir HUSM sendiri yang telah bertindak profesional menyediakan logistik yang bersesuaian.

Di medan, ramai lagi hero-hero tak bernama yang telah menyumbang. Termasuk mengharungi gelombang bah menyelamatkan nyawa-nyawa dengan berbekal bot-bot kecil dalam kegelapan malam pada saat-saat cemas bermula 22 Disember sampai saat kemuncak pada tarikh berbeza di lokasi yang berbeza.

InsyaAllah, satu ketika, sebahagian mereka yang boleh dikenalpasti, boleh kita raikan bersama.

Alhamdulillah, setinggi syukur kita ucapkan, Allah menyelamatkan nyawa rakyat Kelantan dalam kederasan Bah yang sangat luar biasa itu.

Hadhirin-hadhirat,

Era hentakan pertama bah sudah berlalu.

Kini, era pemulihan pasca banjir yang mungkin agak panjang perjalanannya.

Apabila bah surut, nampaklah kesan tinggalannya. Ia berguna jika kita ingin menggambil pelajaran darinya.

Air boleh dibentuk jika kita mempunyai bekas. Kesan banjir akan menjadi positif jika kita mempunyai pelan perancangan yang baik.

Nuh a.s dikenali sebagai bapa kedua manusia. Bah besar mewujudkan limpahan ummat yang bertebar ke empat penjuru dunia memulakan peradaban baru.

Asal sahaja pihak berwajib, khususnya Kerajaan Pusat hendaklah memandang ini sebagai satu peluang memberikan mutu kehidupan yang lebih baik bagi rakyat kita.

Kehadhiran NGOs lebih banyak mengisi ruang antara kewajipan pihak berwajib dan keadaan dharurat di lapangan.

Kita bukan pesaing kerajaan dan bukan pula berniat untuk berlumba dengan mereka. Kita hadhir mengisi ruang yang kosong, mencetus sesuatu yang baharu untuk ikutan, memantau, menjadi teman mereka yang ditimpa musibah, menyahut naluri kemanusiaan tanpa batas politik, kaum dan daerah dan menjadi jendela impian mereka dalam sudut tertentu.
NGO yang bergabung di bawah Gabungan Impian Kelantan kekal bebas seperti hasrat gerakan masing-masing cuma sekali sekali kita bergabung berbincang mengatur gerak.
Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul

Jika pengayuh tidak ada, paling tidak kaki dan kaki tangan digerakkan utk melancarkan perahu bersama.

Bencana, ketika ia tiba, tidak dapat ditangguh walau seminit.

Kesegeraan adalah dituntut. NGOs menyahut cabaran kesegeraan itu kerana mereka lebih bebas.

Sekadar untuk inspirasi bersama, ketika gempa kuat melanda wilayah Sichuan pada 12 Mei 2008, dua jam kemudian PM Cina sudah berada di atas pesawat menuju kawasan gempa.

Penduduk yang terkesan, diberikan antara seratus lebih design dan lay out rumah sebagai pilihan.

Mungkin PM Cina terpengaruh satu kata pepatah: bantu saya ketika banjir, saya akan membantu anda ketika kemarau.

Musim kemarau orang politik ialah musim pilihanraya…..dan begitulah sebaliknya.
Bukanlah kita membantu sebab politik dan pilihanraya ia hanya pepatah untuk difikirkan bersama.
Kita membantu atas semangat persaudaraan dan kemanusiaan tanpa syarat.

Impian sederhana kita, melihat rumah dan penempatan semua yang terkesan, dibina dan disiapkan seberapa segera.

Impian lebih unggul kita, rumah-rumah mereka biarlah selesa sesuai dengan status sebagai insan makhluk termulia.

Juga, kampung yang dikenal pasti dalam lurah bah, dialihkan ke perkampungan baru yang moden, selesa, lengkap dan indah.

“Sesiapa yang mengasihi makhluk di bumi, nanti ia akan dikasihi penghuni langit.” Kata Nabi s.a.w.

Di atas panggilan-panggilan ini, kita bermimpikan – Gabungan Impian Kelantan ini kita lancarkan.

Husam Musa
Yayasan Darul Hijrah
Gabungan Impian Kelantan

Barah 1MDB menunggu Pecah

Barah 1MDB menunggu Pecah

1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.

Laporan polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.

Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;

a. Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)

b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International Ltd.

c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 million

d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran

e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan

f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran

g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman

Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan membincangkan isu ini.

Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?

Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?

Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?

Tentulah dengan niat yang tertentu.

Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan baru ini?

Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?

Tidakkah dua perkembangan ini – laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet terjadi serentak?

Terlepas dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.

Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam Negeri.

Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?

Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.

Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.

Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.

Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.

Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.

Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti.

Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.

Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.

Husam Musa

Naib Presiden Pas
13 Disember 2014

Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 15 November 2014.

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata,” tegas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,” katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-60.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulama dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam. – HARAKAHDAILY 15/11/2014