Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

Saya tidak terlibat dengan Pasma – Husam

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 15 November 2014.

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata,” tegas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya sama ada terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,” katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-60.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulama dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam. – HARAKAHDAILY 15/11/2014

About Author

Connect with Me:

Theme Settings