ANGGUR PENAWAR RASULULLAH

Sekilas Tadabbur Ramadhan 1442 (Siri ke-7)

ANGGUR PENAWAR RASULULLAH s.a.w UNTUK HATI / LIVER DAN KEDUKAAN

وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ

‘Dan kebun-kebun dari berbagai jenis ANGGUR, dan zaitun dan delima’.

Al An’am : 99

ANGGUR mempunyai banyak keistimewaan.

Ia disebut sebanyak 11 kali di dalam Al Qur’an.

Anggur, seperti kata Nabi Muhammad s.a.w – boleh menghilangkan kedukaan. Duka bertempat di hati.

Dalam penemuan moden, ANGGUR khususnya sebagai jus sangat berkesan untuk merawat penyakit berkait dengan hati atau liver.

Antara lain, Rex Adams dalam bukunya Makanan: Penawar yang Menakjubkan menulis bahawa JUS pekat ANGGUR tanpa gula boleh menyembuhkan pelbagai penyakit hati/liver.

Ini selari dengan Sabda Nabi s.a.w bahawa Nabi Nuh a.s diajar oleh Allah untuk memakan anggur bagi mengubati kedukaan baginda selepas Bah Besar.

Bukankah kedukaan itu bertempat di hati?

Satu dari sebabnya, dalam penemuan oleh Illinois College of Pharmacy, ANGGUR mengandungi sejenis flavonoid yang dipanggil proanthocyanidin(OPCs) yang boleh bertindak melawan kesan tekanan perasaan dalaman dan luaran.

OPCs pula antara lain boleh melawan kesan antihistamine.

Jadi, baik kedukaan hati yang sifatnya ruhani mahupun hati sebagai jasmani, dapat dirawat dengan JUS ANGGUR.

JUS ANGGUR juga boleh membersihkan keracunan pada darah.

Dua pemuda rakan sepenjara Nabi Yusuf a.s dipenjara selama beberapa hari sementara menunggu hasil penyiasatan siapa di antara mereka berdua yang cuba meracuni Raja – tukang roti atau pelayan minum Raja.(Selain catatan Mufassirin bahawa kedua mereka adalah pelayan Istana, juga dapat difahami dari ayat ke 42 dan 45 Surah ini).

Akhirnya, yang didapati bersalah adalah tukang roti.

Bagaimana Raja Mesir itu terselamat dari roti yang diracuni?

Adakah kerana JUS ANGGUR yang selalu diminumnya yang khasiatnya membersihkan darah?

Tidak dinyatakan secara langsung oleh Al Qur’an di sini.

Al Qur’an hanya menunjukkan di satu pihak roti telah diracuni melalui hukuman bunuh ke atas pembuat roti dan di satu pihak lain, kegemaran Raja Mesir adalah JUS ANGGUR.

Sementara kajian moden menunjukkan JUS ANGGUR mampu membersihkan darah.

Mungkin itu indikasi secara tidak langsung oleh Al Qur’an tentang khasiat dan manafaat jus khususnya dalam kes ini, JUS ANGGUR.

JUS ANGGUR juga berguna untuk otak. Salah satu yang diperlukan oleh otak ialah boron, sejenis mineral yang terkandung dalam ANGGUR.

Boron juga sangat penting untuk kesihatan tulang dengan mengurangkan metabolisma kalsium yang membawa kepada osteoporosis.

Kebanyakan ulama besar Islam yang mampu menghafal Al Qur’an, hadis dan teks-teks panjang sejak kecil, jika kita perhatikan hidup di kawasan yang subur dengan ANGGUR, termasuk Asia Tengah, Parsi, Mesir, Iraq, Syam dan lain-lain.

Imam Bukhari, Tirmizi, Abu Daud dan lainnya sebagai contoh.

Boron secara segera boleh tingkatkan hormon estrogen dalam darah.

Kulit ANGGUR mengandungi resveratrol yang berperanan menghalang pembekuan darah dan tingkatkan kolestrol baik HDL. Ia juga kaya dengan antioxidant bernama quercetin.

Resveratrol juga boleh memanjangkan usia, seperti penemuan oleh Dr David Siclair dari Harvard University Medical School, selain menghalang pertumbuhan sel kanser.

Seperti telah disebutkan, ANGGUR dipuji kerana ia kaya dengan antioxidant. Lebih gelap warna sesutu jenis buah atau sayur lebih kandungan antioxcidant nya. ANGGUR hitam lebih kaya dengannya berbanding ANGGUR hijau.

ANGGUR kegemaran Raja Mesir sebaliknya berwarna cerah. Mungkin ia lebih manis dari ANGGUR yang lebih gelap.

Dari kajian di Sepanyol menemukan seseorang yang meminum 100ml JUS ANGGUR merah selama dua minggu, akan melihat kesan penurunan kolestrol jahat (LDL) dengan ketara dan peningkatan HDL atau kolestrol baik.

Senarai kebaikan JUS ANGGUR ini, akan bertambah panjang dengan lebih majunya penyelidikan manusia nanti.

Jika kita lanjutkan perbincangan kita kepada kata يَعْصِرُونَ – ‘orang ramai memerah jus’ – diertikan oleh mufassirin sekali lagi bukan hanya terhad kepada ANGGUR.

Tafsir Al Aisar memasukkan sekali zaitun dan tebu selain anggur. Bermakna minyak dan minuman jus sekali.

Ibnu Abbas berpendapat : ‘mereka memerah anggur, minyak dan semua buah-buahan’.

Sahabat lain iaitu Ibnu Juraij berpendapat: ‘Maksudnya adalah biji-bijian sebagai minyak, anggur menjadi arak dan zaitun menjadi minyak’.

Ini selari dengan rekod-rekod yang ditemui di Mesir yang menunjukkan minyak bijan(sesame) selain zaitun telah digunakan ribuan tahun yang lalu.

Sampailah kita kepada kesimpulan bahawa, menerusi ayat 49 Surah Yusuf ini, Al Qur’an berbicara tentang JUS-JUS minuman dari pelbagai jenis buah-buahan secara umum dan JUS ANGGUR secara khusus melalui ayat 36 Surah ini juga.

Sementara, melalui ayat فَيَسْقِي رَبَّهُ خَمْرًا / ‘akan memberi minum Rajanya dengan khamar’ tidak diperselisihkan lagi sebagai arak. Ia menunjukkan dari perahan anggur dan aneka buah-buahan manusia menghasilkan produk lain lagi termasuk arak, sejak dahulu kala, walaupun ia adalah dikira sebagai satu penyelewengan penggunaan nikmat Allah yang dilarang.

Bila dilanjutkan berfikir, dengan sendirinya manusia boleh memahami dari jus boleh terhasil lanjutan produk selanjutnya. Cuka, jem, manisan, gula, kueh mueh dan gula-gula juga terhasil dari apa yang asalnya diperah sebagai jus atau cairan.

Husam Musa
13 Ramadhan 1442H
25 April 2021

DonateSukarelawan