DUNIA PADI DAN BERAS

DUNIA PADI & BERAS

The Destiny Of Nations Depends On The Way They Feed Themselves!’ – Brillat Savarin. Penulis Perancis.

Teringat saya kepada novel berjudul Beyond The Rice Fields karya Naivo. Novel penulis Madagascar pertama diterjemah ke bahasa Inggeris.

Dari sana saya mengenali Hainteny – sejenis hasil sastera semacam pantun Melayu. Asalnya pun dari budaya rumpun Melayu yang bermukim di sana sejak abad ke 5. Jeruk limau nipis dan mangga mereka pun dipanggil achards – hampir sama dengan acar dalam bahasa kita.

Orang Malagasy juga pemakan nasi dan penanam padi. Bah kan, ketika menjemput tetamu makan, mereka menyebut “Manasa Hihinam-bary!” atau sama dengan resam kita : ’Jemput makan nasi!”. Hidangan makanan disimbolkan dengan nasi.

Sama juga dengan budaya Jepun. Perkataan Jepun ‘gohan’ membawa dua maksud : ‘nasi yang dimasak’ dan juga ‘hidangan’. Sekali lagi menunjukkan besarnya pengaruh nasi dalam budaya mereka.

Nasi Romazava – dikira sebagai hidangan nasional Malagasy. Romazava adalah nasi yang dimasak dengan daging dan beberapa herba tempatan yang menjadi kunci keenakan nasi ini. Herba terpenting ialah Daun Anamalao (Acmella Oleracea) atau dipanggil juga Paracress. Paracress dikatakan berasal dari Brazil.

Kan Brazil dan Madagacar itu seiklim juga dengan Kelantan/Malaysia?

Kenapa herba ‘ajaib’ ini tidak ada di bumi kita? Pada hal kita seiklim.

Jika di masa akan datang – samada dengan pertolongan Duta Madagascar di Kuala Lumpur atau cara yang lain – membantu mendapatkan benih ini – dan ianya ditanam dalam zon KADA atau di mana-mana di Kelantan, senarai hidangan jenis-jenis nasi di Kelantan mungkin bertambah. Nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang dan nantinya nasi Romazava dan lain-lain.

Saya masih tercari-cari benih herba regu nasi Romazava ini.

Ahli Geographer Perancis, Pierre Gourou menerusi bukunya Land and People of The Far East, berpendapat masyarakat penanam padi di kebanyakan belahan dunia mempunyai budaya, persekitaran dan gaya hidup yang hampir sama.

Pengaruh musim tengkujuh dalam penjadualan penanaman padi mereka juga sekata.

Tulisan Pierre Gourou ini dipetik semula oleh penulis Vietnam yang sangat luas pengetahuannya dan halus pemerhatiannya – Huu Ngoc. Ngoc kini berusia 100 tahun dan masih aktif menulis.

Tulisan kolumnya di akhbar Vietnam dikompilasi dalam bukunya berjudul Wandering Through Vietnamese Culture, setebal 1,251 muka surat.

Dalam bab 154, beliau menulis tentang padi, beras dan nasi dalam budaya masyarakat Vietnam di bawah tajuk Our Bowl of Rice. Di hujung bab, beliau menurunkan sebuah puisi tentang betapa penatnya penanam padi untuk menghasilkan sepinggan nasi yang kadang-kadang dipandang ringan oleh pengguna.

“ Anda yang menikmati sepinggan nasi,
Terasakah anda keharuman butir-butirnya,
Bersama kepahitan aku lalui untuk memupuknya……”

Masih sekitar buku bertajuk Nasi/Rice.

Penulis masakan Jepun ternama, Michael Booth dalam bukunya The Meaning of Rice and Other Tales From The Belly of Japan, memuatkan tentang petani padi contoh Jepun – Katsuyuki Furukawa dalam bab berjudul Rice (Meaning of…..).

Encik Furukawa telah mengambil jalan yang perit untuk menghasilkan padi terenak di Jepun dengan kaedahnya sendiri. Termasuk mencipta mesin membajaknya sendiri untuk mempastikan tanah yang dibajak adalah dalam. Dalam penelitian beliau, kedalaman tanah yang dibajak akan menghasilkan pokok padi yang lebih subur dan mutu padi yang lebih berkualiti.

Beliau berjaya mengalahkan lebih dari 4,000 peserta penanam padi terhebat Jepun selama lima tahun berturut-turut! Untuk membuktikan beliau adalah jaguh sebenar penanam padi Jepun.

Akhirnya, penganjur menasihatkan beliau tidak lagi menyertai pertandingan untuk membolehkan petani lain turut berpeluang menjadi juara.

Kesungguhan untuk merasa puas kerana menghasilkan padi yang terbaik untuk masyarakat dan negara yang ditunjukkan oleh Encik Furukawa menakjubkan. Bukan sekadar padi, tetapi padi dan beras terbaik.

Mungkinkah KADA mampu menghasilkan petani kreatif segigih Furukawa? Berjiwa kompetitif dan menghayati kerjaya sebagai Penanam Padi yang lain dari biasa. Dan berbangga sebagai Penanam Padi.

Ah! Saya tersedar dari lamunan saya. Saya kini terjatuh dalam dunia padi dan beras…..

(Kenangan sempena pelantikan sebagai Pengerusi KADA,
Selasa, 2 April 2019)

Husam Musa

DonateSukarelawan